Seakan satu kepuasan apabila setelah 28 tahun barulah dapat merasa BMI normal seperti orang lain. Dari 124kg hingga 77kg, lelaki ini berjaya turunkan 47kg dengan hanya mengamalkan Intermittent Fasting (IF) bermula 1 September 2019 sehingga ke hari ini.
Menurut Ahmad Firdaus, dia mengamalkan “one-meal-a-day” atau OMAD serta gaya hidup yang sihat. Sekiranya dia tidak larat, barulah dia akan membuat 16:8 dan memastikan yang dia berpuasa 16 jam dan lebih.
“Ada orang makan tapi tidak mengamalkan workout. Ada orang pula tidak menjaga makan tetapi workout. Bagi saya kedua-dua itu penting namun yang lebih penting adalah jaga makanan.
“Semua saya buat, maksud saya IF ni. 16:8, 18:6, 20:4 dan OMAD. Jika ditanya apakah yang paling kerap saya buat, saya akan cakap OMAD. Namun sekiranya saya benar-benar tidak larat, saya akan pastikan yang saya berpuasa lebih daripada 16 jam.
Sekiranya saya makan tidak mengikut seperti yang dijadualkan, saya akan ‘menghukum’ diri saya dengan mengamalkan OMAD keesokan harinya,” katanya kepada MASKULIN.
Apabila ditanya, apakah dia turut bersenam, jawapannya ya. Dia akan melakukan senaman seperti Push Up, Plank dan Leg Raise setiap hari tanpa gagal. Malah, dia turut mengamalkan joging seminggu dua tiga kali.
Katanya, dia sedar orang berbadan besar sering diserang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lebih teruk adalah sakit jantung. Jadi, kerana itulah timbulnya kesedaran untuk dia menurunkan berat badan.
Menurutnya lagi, dia menghadapi masalah obesiti sejak kecil namun dia kuatkan semangat dan terus mengamalkan IF. Dia juga akan memastikan yang dia tidak mengambil lebih daripada 1500 kalori sehari.
“Antara sebab saya mahu kurus adalah orang gemuk mudah kena penyakit, lebih-lebih lagi 3 penyakit serangkai (Darah Tinggi, Kencing Manis, Sakit Jantung). Malah lebih tragis, orang gemuk susah nak mencari saiz bila nak beli pakaian. Saya nak ‘grow old’ dengan keadaan sihat tubuh badan.
“Malah, Saya merupakan seorang bapa dan mempunyai seorang anak. Saya jadikannya inspirasi untuk saya fit demi menjaga keluarga saya. Saya hendak menjadi inspirasi kepada orang ramai bahawa nak turunkan berat badan, ada harapan.
“Sebenarnya saya mendapat insiprasi dan semua ini kerana saya sering melihat update-update daripada Azril Nizam Jamaludin. Abang Azril ini sering post di group IF dan sering berkongsi tip untuk kurus dan turunkan berat badan.
“Malah, Abang Azril juga rajin berkongsi beberapa tip tentang pemakanan dan turut recommend makanan terbaik untuk orang ‘seperti saya’. Abang Azril ni agak berumur dan orang sering memanggilnya dengan gelaran ‘pokcik’.
“Sungguhpun begitu, Abang Azril sentiasa fit. Jadi di situlah saya terfikir, jika dia boleh melakukannya kenapa saya yang muda ni tidak boleh melakukannya,” kata Firdaus lagi.
Firdaus sempat berkongsi tip agar kita semua dapat mengawal pemakanan dan ‘menolak gula
’ ketika makan.“Segala jenis gula saya cut kecuali stevia tapi itu pun sekali sekala. Pagi makan thosai dan tengah hari saya makan pesto pasta. Kalau snacking pula saya minum juice dari juiceworks or boost. Malam memang saya tak makan sebab feeding period 8am – 4pm,” tulis Firdaus di Facebooknya.
Menu 1:
Nasi perang
Ayam dada grill
Lemon juice tanpa gula
Menu 2:
Chapati
Ayam Tandoori bahagian dada
Lemon juice tanpa gula
Menu 3:
Whole wheat pasta aglio olio
Lemon juice tanpa gula
Menu 4:
Whole wheat pesto pasta
Lemon juice tanpa gula
Orang ramai boleh mengikuti weight lost journey Fierdaus Fourheart di Facebook atau Instagramnya.