Amalkan Diet Air Putih Dengan 11 Cara Ini Kalau Nak Berat Badan Mudah Turun!

Share

Jangan pandang sebelah mata dengan kelebihan diet air putih. Sebenarnya diet air putih ini adalah kaedah selamat yang paling mudah dan murah untuk turunkan berat badan dan cairkan lemak.

Malah minum air putih sebanyak 3 liter sehari juga dapat mengembalikan keremajaan kulit dan nampak muda. Walau diet air putih ini mudah, namun masih ramai yang gagal menurunkan berat kerana tiada tip berkesan untuk minum air putih ini.

Oleh itu, penting untuk anda tahu aturan waktu mengamalkan diet air putih ini agar lebih berkesan untuk anda turunkan berat dan cairkan lemak. Ini merupakan 10 tip yang anda perlu ikut ketika mengamalkan diet air putih.

BACA: Patutlah Wajah Awet Mudah & Badan Sihat, Rupanya Rajin Minum Air Selepas Bangun Tidur!

1. Selepas bangun tidur

Sebaik sahaja bangun tidur setiap hari, minumlah 250ml air putih ketika perut anda masih kosong. Ia baik untuk menyingkirkan toksin dari badan sepanjang anda tidur malam. Malah, minum air  putih ketika perut kosong juga dapat meningkatkan metabolisme badan untuk menyerap nutrisi dan membantu sistem pencernaan yang baik.

2. Sejam sebelum sarapan

Ambillah air putih sebanyak 250-500ml sekitar satu jam sebelum anda ingin bersarapan. Ia akan membantu menyediakan sistem pencernaan untuk menyerap nutrisi dari makanan yang anda akan makan.

3. Selepas minum teh atau kopi

Selepas sahaja anda habis minum secawan teh atau kopi, segeralah minum air putih segelas. Kopi dan teh bersifat diuretik di mana ia akan membuatkan anda ingin terus membuang air kecil. Bagi mengelakkan badan anda dehidrasi akibat kencing yang kerap, pengambilan air putih akan menggantikan jumlah cecair dalam badan anda yang telah keluar.

4. 30 minit sebelum makan

Anda juga digalakkan untuk minum air putih paling kurang dua gelas 30 minit sebelum makan sama ada makan tengah hari atau malam. Ini akan membantu anda rasa lebih kenyang dan jumlah makanan yang masuk ke dalam badan anda akan berkurangan. Bukan itu sahaja, minum sebelum makan akan melembapkan lapisan perut, selain membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa anda makan.

BACA: Sejauh Manakah Kebenaran Bahawa Buah Pinggang Akan Rosak Jika Terlebih Minum Air

5. Ketika rasa lapar

Apabila perut anda rasa lapar dan anda ingin mengunyah sesuatu, ajar diri anda untuk minum segelas air. Air putih akan membuatkan perut anda rasa lebih kenyang sehingga anda tidak terasa untuk makan atau mengunyah.

6. Sebelum bersukan

Sebelum melakukan apa jua sukan, anda dinasihatkan untuk minum air putih terlebih dahulu. Ini akan membantu tubuh anda terhidrasi dengan baik dan peredarannya lebih lancar

7. Selepas bersenam

Selepas bersenam, pasti anda rasa dahaga kerana peluh banyak keluar. Jadi minumlah banyak air untuk menggantikan cecair badan yang hilang. Jumlah air yang anda minum bergantung kepada berat badan, keadaan kesihatan dan suhu alam sekitar anda ketika itu. Namun jangan tergesa-gesa minum air kerana ia boleh menyebabkan berlakunya kekejangan pada perut.

BACA: Siapa Sangka Minum Air Kosong Boleh Bantu Singkirkan Toksin & Banyak Lagi Faedah Lain

8. 2 jam sebelum tidur malam

Dua jam sebelum tidur, minumlah air putih sebanyak 300-600ml bagi memulihkan tenaga yang telah hilang daripada aktiviti seharian anda. Malah minum air putih juga akan membantu meningkatkan proses metabolisme yang menyebabkan tubuh badan dapat membakar lebih banyak kalori.

9. Minum 4 liter sehari

Ketika anda membuat proses diet, minumlah sekitar 4 liter air putih sehari. Ia akan melunturkan lemak dan membuang toksin dari tubuh, selain mempercepatkan lagi berat anda turun.

10. Lakukan detoks air

Detoks air merupakan diet air yang berkesan untuk menurunkan berat badan dengan cepat. Campurkan air putih dengan hirisan lemon atau buah-buahan lain membuatkan anda kekal segar dan sihat dengan detoks daripada bahan-bahan semula jadi ini.

11. Gabungkan diet air putih dengan senaman

Jika anda mahu kesan penurunan berat yang lebih cepat, anda kena lakukan senaman dan imbangi dengan minum air yang banyak.

Published by
Roselinda