Aktor Korea Park Seo Jun Sertai #TeamMILO, Kolaborasi Laku Keras Sampai Sold Out

Share

Rasanya tidak salah untuk MASKULIN katakan populariti selebriti dari Korea Selatan kini mampu menyaingi selebriti Hollywood. Kesetiaan peminat K-pop atau K-drama cukup luar biasa.

Lihat sahajalah kolaborasi terbaru MILO bersama aktor, Park Seo Jun yang popular menerusi drama ‘Itaewon Class’ dan ‘She Was Pretty’. Dikhabarkan produk MILO yang menampilkan wajahnya telah sold out di pasaran.

Namun kolaborasi ini bukan hanya untuk sekali sahaja! Menurut MILO, mereka menyuntik nafas baharu dalam rangkaian variasi MILO dengan kolaborasi bertenaga bersama Park Seo-Jun.

Sebagai ikon global yang sudah sekian lama serasi dengan jenama kegemaran rakyat ini, Park Seo Jun mampu membawa jenama mereka ke tahap lebih tinggi.

GABUNGAN BERTENAGA

Bermula Ogos lalu, MILO dan Park Seo-Jun telah menyemarakkan tenaga rakyat Malaysia menerusi variasi produk MILO berkhasiat dalam stik pek yang mudah dibawa untuk memenuhi keperluan gaya hidup masing-masing – pada bila-bila masa, di mana jua.

Park Seo-Jun menyertai jutaan rakyat Malaysia yang bertenaga dengan kebaikan MILO yang diperbuat daripada barli malt, susu dan koko dengan gabungan vitamin serta mineral penting yang membantu membebaskan tenaga untuk melangkah lebih jauh.

Minuman yang tidak asing lagi dengan rasa coklat malt ikonik, MILO turut menampilkan rangkaian produk berkhasiat yang sesuai untuk golongan dewasa yang mahukan kemudahan dan kepelbagaian. Setiap satu variasi produk – MILO with Whole Grain Cereal, MILO 3-in-1, MILO Original dan MILO Less Sugar – mengandungi kebaikan unik tersendiri yang menepati keperluan, cita rasa dan gaya hidup semasa pengguna, termasuklah Park Seo-Jun.

MILO dilihat cukup teruja dengan kolaborasi bersama Park Seo-Jun yang turut menyertai barisan ikon-ikon Malaysia yang pernah bergabung tenaga dengan jenama mereka sebelum ini.

“Ikon antarabangsa dan individu aktif seperti Park Seo-Jun memerlukan tenaga seorang juara untuk menghadapi kesibukan hari serta mengamalkan gaya hidup aktif. Beliau sememangnya seseorang yang menjiwai tenaga MILO.

“Menerusi kolaborasi ini, kami ingin memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus melangkah jauh, walau apa jua yang ingin dicapai setiap hari, disemarakkan lagi dengan khasiat dan tenaga MILO.

“Dengan rangkaian variasi MILO yang pelbagai, kami yakin pasti ada MILO untuk setiap individu,” jelas Pegawai Eksekutif Perniagaan – Unit Perniagaan MILO, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen.

Kempen akan dirancakkan lagi dengan aktiviti-aktiviti menarik untuk mengujakan peminat MILO dan Pak Seo-Jun. Untuk konten eksklusif kolaborasi bertenaga MILO x Park Seo Jun serta maklumat lanjut tentang kebaikan rangkaian variasi MILO boleh mendaftar di laman sesawang rasmi mereka.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim