Penulis dan aktivis Amerika Syarikat (AS) Jeffery Shaun King dan isterinya Rai King memeluk Islam pada hari pertama Ramadan 2024, demikian lapor TRT World.
Pasangan itu melafazkan syahadah menerusi siaran langsung Instagram pada Isnin dibimbing ulama AS, Omar Suleiman yang juga sahabat Shaun selama lebih 10 tahun.
Memakai keffiyeh Palestin, aktivis berusia 44 tahun itu menyifatkan keputusannya itu sebagai “penderitaan, kesakitan dan trauma enam bulan lalu yang dilihat di Gaza”.
“Ia membuatkan saya tersentuh secara mendalam untuk melihat orang yang ketika ini berada di tempat paling berbahaya dan traumatik di bumi ini kadangkala tidak melihat apa-apa selain runtuhan dan sisa-sisa keluarga mereka, namun masih melihat makna dan tujuan dalam hidup.
“Keimanan dan pengabdian mereka kepada Islam bukan sahaja membuka hati saya tetapi telah membuka hati berjuta-juta orang di seluruh dunia,” kata Shaun.
Shaun terkenal dengan kelantangannya menyokong Palestin, menentang tindakan negara haram Israel ke atas Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 31,112 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita,, dan mencederakan 72,760 setakat ini.
Sejak 7 Oktober, Shaun kerap berkongsi hantaran media sosial menunjukkan kemusnahan di Gaza dan menyeru agar serangan Israel dihentikan.
Susulan tindakannya itu, Instagram telah menyahktif dan mengalih keluar akaunnya yang mempunyai lebih enam juta pengikut itu.
BACA: Mahu Berterus Terang Lapor Berita, Mehdi Hasan Tubuh Syarikat Media Digital Sendiri