Apabila menyebut mengenai penyakit kencing manis, pasti yang ditakuti oleh pesakitnya ialah apabila terpaksa melalui proses pemotongan kaki.
Itulah yang dialami oleh seorang pemuda berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Mahathir, apabila dia kini kudung kaki kirinya sejak seminggu sebelum Ramadan tahun ini.
Memetik perkongsian video di Tiktok @kedidi_kakipalsu, Mahathir memberitahu yang dia terpaksa menjalani proses pemotongan kaki akibat menghidap penyakit kencing manis.
@kedidi_kakipalsu Adik Mahathir umur 21 dah kena potong kaki sebab kencing manis🥹 #misibantuankakipalsu #prubsnprihatin #mobilityislife #diabetes #kencingmanis #amputeestory ♬ original sound – kedidikakipalsu
Ditanya bagaimana dia boleh menderita penyakit itu pada usia yang muda, dia mengakui tabiatnya yang gemar meminum air manis menjadi punca kepada penyakit itu.
Minuman berkarbonat jenama tempatan adalah minuman kegemarannya dan membeli minuman itu adalah rutinnya setiap kali pulang dari sekolah dahulu, tambahnya.
Mahathir kini tidak lagi bekerja namun masih berhasrat untuk kembali bekerja atau mencari rezeki dengan apa sahaja cara yang mampu dilakukannya.
Terdahulu, Mahathir bekerja di restoran makanan segera, McDonald’s cawangan Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur.
Meskipun kini terpaksa hidup bergantung pada satu kaki sahaja, Mahathir dilihat begitu cekal dan positif serta mampu mengukir senyuman.
Penyakit kencing manis atau diabetis merupakan penyakit kronik yang merosakkan keupayaan tubuh untuk memproses gula di dalam darah.
Pesakit kencing manis merupakan pesakit yang paling biasa melalui proses amputasi, iaitu pemotongan anggota badan, lazimnya bahagian kaki.
Jika seorang pesakit kencing manis mengalami luka di bahagian kaki, tubuhnya sudah tidak berupaya untuk menyembuhkan luka dengan cepat dan melawan jangkitan.
Oleh itu, amputasi merupakan jalan terakhir bagi mengelakkan jangkitan merebak ke bahagian lain.