Begitulah lumrah kalau menjadi seorang ‘scalpers’ terpaksa menanggung risiko yang besar. Mungkin kerana terlalu percaya akan barang yang diborong dapat dijual semula pada harga lebih tinggi membuatkan mereka berani.
Namun malangnya jika perkara sebaliknya berlaku mereka terpaksa menepuk dahi jika barang yang didapati mereka tidak laku dan permintaannya jauh lebih rendah berbanding jangkaan.
Itulah yang berlaku kepada segolongan ‘scalpers’ di negara China yang bergelut untuk menjual iPhone 14 yang baru dikeluarkan beberapa minggu lalu. Memetik laporan dari Oddity Central, scalpers kini terpaksa menjual iPhone 14 pada harga jauh lebih murah di jalanan kerana tidak menyangka pemintaannya lebih rendah.
Beberapa foto menampilkan mereka bersama iPhone 14 yang dijual di jalanan berlegar di laman media sosial. Ia satu pemandangan yang cukup menghairankan terutamanya bagi golongan scalpers kerana kebiasaannya permintaan iPhone terbaru adalah sangat tinggi.
Menurut pandangan beberapa pemerhati pasaran peranti lanskap pasaran iPhone kini agak berbeza berbanding sebelum ini. Sebagai contoh, ramai tidak menyangka Apple mampu memenuhi tempahan dalam masa yang singkat.
Dalam erti kata lain pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan iPhone 14. Berbeza dengan dahulu di mana ramai pelanggan terpaksa menunggu lebih lama. Selain itu, keadaan ekonomi semasa juga membuatkan ramai pengguna lebih berwaspada dalam berbelanja.
Dan akhirnya sekali mereka juga berpendapat pasaran peranti kini jauh lebih kompetitif dari sebelumnya. Jadi mahu atau tidak golongan scalpers ini terpaksa menjual iPhone 14 yang dibeli awal oleh mereka pada harga lebih rendah untuk sekurang-kurangnya mendapatkan semula sejumlah wang mereka.
Buat anda yang ingin jadi scalpers atau reseller, bolehlah jadikan kejadian ini sebagai pengajaran ya. Iyalah, sejak seminggu dua ini di laman media sosial juga heboh membicarakan tentang golongan ini.
Kredit: Oddity Central