Hiburan

Aedy Ashraf Bangga Jadi Anak Kelantan Bawa Watak Beja Dalam ‘Kahar: Kapla High Council’

Share

Bagi aktor popular, Aedy Ashraf, watak Beja dalam filem Kahar memberi satu makna yang cukup mendalam.

Selepas lebih 23 tahun berkecimpung dalam dunia seni, ini adalah kali pertama beliau diberi peluang untuk membawa watak anak Kelantan dengan dialek asalnya sendiri.

Meskipun dilahirkan di Kelantan, Aedy membesar di Kuala Lumpur dan jarang sekali berkesempatan menggunakan dialek negeri kelahirannya dalam kerjaya lakonan.

Aedy bukanlah asing dengan watak berdialek lain – dia pernah membawa watak menggunakan dialek Perak, Kedah, dan Pahang.

Namun, berpeluang menggunakan dialek Kelantan buat pertama kali memberikan kepuasan yang tersendiri buatnya.

Baginya, watak ini adalah peluang yang tepat untuk kembali kepada akar umbinya, menyelami budaya negeri kelahiran yang tersemat dalam diri sejak sekian lama.

“Saya ni memang dari Kelantan, tapi mungkin ramai tak tahu. Jadi ini macam peluang saya untuk go back to my roots, memahami asal-usul saya yang sebenar,” jelasnya penuh semangat dalam satu temu bual bersama Gempak.

Menariknya, meskipun Aedy kurang fasih dengan dialek Kelantan kerana membesar bersama ibunya di Kuala Lumpur, beliau sanggup mengikuti kelas dialek bersama pengarah terkenal Che Wan – yang juga pengarah Budak Kelantan – dan pengarah filem ini, Razaisyam Rashid, yang kedua-duanya juga berasal dari Kelantan.

Bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka menjadikan penyampaian dialek Kelantan lebih natural dan mantap, seolah-olah dialek itu sebati dalam dirinya sejak kecil lagi.

BACA: Fakta Mengejutkan – Apa Sebenarnya Rambut Uban Dedahkan Tentang Kesihatan Lelaki

Namun, perjalanan Aedy dalam memantapkan watak Beja ini bukannya mudah. Beliau mengakui terdapat cabaran dan kekok sedikit pada permulaan.

Tetapi, sokongan daripada pengarah dan rakan pelakon menjadikan proses itu lebih mudah dan menyenangkan.

“Saya tak kekok, cuma ada cabaran untuk buat dialek itu terdengar asli. Dengan bantuan pengarah dan pelakon lain, saya jadi lebih yakin dan lancar,” ujarnya.

Filem ‘Kahar: Kapla High Council’ akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 November 2024.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube

 dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim