“Aduh, Sakitnya Kaki Terseliuh!” – Terus Buat 8 Langkah Ini Segera

Share

Apabila kaki terseliuh, memang sakit kalau nak berjalan balik. Terpaksalah berjalan dengan terhincut-hincut.

Namun begitu, usah dibiarkan lama-lama. Terus rawatnya segera untuk mengurangkan kesakitan pada kaki anda dengan cara berikut :

1. Perlu rehat

Rehat di sini bermaksud mengurangkan gerakan sendi yang cedera dan tidak menggunakan kaki yang tercedera untuk berjalan. Gunakanlah tongkat ketiak (axillary crutches), tongkat lengan(elbow crutches) atau kerusi roda untuk bergerak.

2. Perlu tuam ais

Sejurus selepas kecederaan, lakukan tuaman ais. Tuam ais selama 20 minit setiap 2 hingga 3 jam kerana ia dapat mengurangkan kesakitan dan mengelakkan bengkak yang teruk.

3. Perlu balut

Balutan ini untuk beri tekanan dan mengurangkan pergerakan pada sendi yang tercedera. Ini dapat menghalang bengkak besar daripada terjadi. Namun, pastikan tidak balut terlampau ketat sehingga bekalan darah tersekat.

4. Perlu tinggikan kaki

Anggota yang tercedera perlulah diletakkan tinggi. Sewaktu duduk pastikan kaki tercedera sentiasa melunjur. Jangan biar tergantung di bawah. Sewaktu baring atau tidur, kaki cedera itu hendaklah lebih tinggi daripada badan. Boleh alas bantal di bawah kaki.

5. Jangan urut

Elakkan terus mengurut kawasan yang tercedera. Mengurut sejurus sahaja kecederaan berlaku adalah sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan bengkak lebih teruk. Urutan hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

6. Jangan tuam haba

Tuaman haba akan menyebabkan salur darah mengembang lantas mempercepatkan dan mempertingkatkan proses keradangan. Tuaman menggunakan haba hanya dibenarkan selepas 48-72 jam kecederaan berlaku.

7. Jangan sapu minyak panas / gamat

Jika ada luka di kulit di kawasan kecederaan, jangan sapu minyak panas atau minyak gamat kerana ia boleh menyebabkan iritasi dan jangkitan pada luka. Minyak panas/gamat hanya dibenarkan jika di kawasan terseliuh itu tiada sebarang luka.

8. Jangan abaikan kesakitan

Jika kesakitan dan bengkak yang dialami terlalu kuat, itu tanda-tanda kecederaan yang anda alami agak parah. Jumpalah doktor, terutamanya jika ada kebas-kebas jari, sendi terkehel keluar, kelumpuhan, dan luka (mungkin open fracture).

Jika rawatan di rumah tidak mengurangkan bengkak dan kesakitan, itu tandanya anda kena berjumpa doktor. Khuatir ada ligamen yang terputus atau keretakan tulang. Jika tidak sempurna, kecederaan ini boleh akibatkan kesakitan kronik.

Published by
Akyem Samad