Petinju yang bergelar juara Light Heavyweight WBC Asian Continental, Adli Hafidz Mohd Pauzi atau lebih dikenali sebagai Adli Goldenboy pernah berlatih seorang diri sebagai persiapan untuk bertanding di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) suatu ketika dahulu.
Bercerita kepada MASKULIN, Adli Goldenboy mengenang kembali saat dia terpaksa mengorbankan sesi latihan di Johor kerana mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Waktu itu saya dapat tawaran sambung belajar di UiTM dan pada waktu itu saya terpilih untuk mewakili negeri Johor ke SUKMA,” katanya.
“Saya kena korbankan masa saya berlatih di Johor dan saya harus berlatih sendiri di kampus”.
@maskulinmy Kesukaran berlatih tanpa jurulatih hanya Adli sahaja yang tahu. Tapi itu tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk menjadi lebih baik dalm sukan tinju. #maskulin #adligoldenboy #goldenboy #manofthemoment #fyp ♬ original sound – Maskulin
Dengan kekurangan kemudahan untuk berlatih sekitar awal 2000an di kampus itu, Adli tekun menjalani latihan dengan usaha sendiri, bahkan terpaksa menumpang kemudahan beg penumbuk milik persatuan taekwondo universiti itu.
“Itu adalah titik perubahan untuk saya belajar erti kecekalan,” kata Adli lagi.
Hasil keazaman dan disiplin yang tinggi itu, Adli berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram.
Hal ini kerana Adli diberitahu oleh jurulatihnya di Johor yang dia tidak boleh bertanding di temasya SUKMA jika dia tidak menurunkan berat badannya.
BACA: Dibuli Ketika Sekolah, Adli Goldenboy Kunci Mulut Pembuli Dengan Kemenangan Tinju
Itulah antara sebab mengapa Adli tekad untuk berlatih sendiri di kampus. Menurutnya, dia akan berlatih setiap kali selepas tamat sesi kuliah.
Penat lelahnya menyusun di antara jadual latihan dan jadual kuliah ternyata membuahkan hasil apabila pada temasya SUKMA berkenaan, Adli berjaya mara ke peringkat akhir dan membawa pulang pingat perak.
Adli percaya tiada apa yang mustahil selagi mana seseorang itu mempunyai kepercayaan yang tinggi pada diri sendiri
“Berlatih seorang pun boleh berjaya. Janji kena disiplin dan pengurusan masa sebagai seorang mahasiswa itu kena betul,” tambah Adli.
Bulan lalu, Adli Goldenboy tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment edisi Mei 2024.
Untuk mendengar sesi temu bual penuh, tonton episode penuh di saluran YouTube MASKULIN.