Di dunia kecergasan yang semakin berkembang, gim telah menjadi tempat ramai lapisan masyarakat berkumpul untuk meningkatkan kecergasan fizikal mereka.
Untuk menjadikan pengalaman di gim lebih positif dan memastikan suasana yang selesa untuk semua, adab asas di gim sangat penting.
Membersihkan Peralatan
Setelah menggunakan alat senaman, adalah adil dan hormat untuk membersihkannya. Gunakan tisu pembersih atau penyembur nyahkuman yang disediakan oleh gim. Ini bukan sahaja menjaga kebersihan peralatan tetapi juga memberi peluang kepada orang lain untuk menggunakannya dengan selesa.
Menyimpan Peralatan Kembali
Apabila selesai menggunakan peralatan, pastikan untuk meletakkannya kembali pada tempat asalnya. Bukan sahaja ia memudahkan orang lain mencari dan menggunakan peralatan berkenaan, ia juga penting untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diduga.
Menjaga Kebersihan Peribadi
Selain peralatan, kebersihan diri juga perlu dijaga. Gim memang tempat untuk bersenam dan pastinya membuatkan badan banyak berpeluh. Tetapi ia bukan bermaksud ia tidak perlu dikawal. Mungkin peluh dan bau badan tidak menggganggu anda, namun tidak sama bagi orang disekeliling anda. Paling asas, jangan sesekali mengabaikan pemakaian deodoran bagi mengawal bau badan anda. Selain itu, pakailah pakaian bersih dan kering yang belum terkesan dengan bau badan dan persekitaran.
Berkomunikasi Dengan Sopan
Meskipun kebanyakan orang ke gim untuk bersenam, masih terdapat peluang untuk berbual dan bergaul. Bagaimanapun, adalah penting untuk berbicara dengan sopan dan tidak mengganggu orang lain yang sedang fokus pada latihan mereka. Jika seseorang kelihatan tidak mahu diganggu, berilah ruang kepada mereka.
Menghormati Ruang Orang Lain
Setiap orang mempunyai cara yang berbeza dalam melatih diri mereka. Menghormati ruang peribadi orang lain adalah kunci untuk menjaga suasana yang positif di gim. Jika sedang sibuk, pastikan untuk memberi tahu orang lain sebelum mengganggu atau berkongsi peralatan.
Jangan Terlalu Asyik Dengan Telefon Bimbit
Tidak salah untuk menggunakan telefon bimbit ketika di gim. Namun perlu peka juga dengan keadaan sekeliling. Jangan terlalu leka bermain telefon sehingga melengahkan senaman yang sedang kita lakukan. Ingat, mungkin ada orang lain yang sedang menunggu giliran untuk menggunakan alatan senaman yang sedang anda gunakan. Hormati juga masa orang lain.
Bersikap Positif
Menjaga sikap positif di gim adalah kunci untuk menjadikan tempat tersebut menyenangkan untuk semua. Berilah dorongan kepada orang lain, sampaikan senyuman, dan hargai usaha setiap individu. Ramai orang yang segan untuk memulakan langkah kecergasan pertama mereka. Sikap positif anda mampu membantu mereka untuk merasa lebih selesa dan diterima di gim berkenaan.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI