Tahukah anda yang penyakit kanser prostat mampu ditangani tanpa sebarang rawatan jika ia dikesan pada tahap awal?
Perkara ini disahkan oleh Pakar Urologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Profesor Madya Dr Shanggar Kuppusamy ketika ditemui MASKULIN.
“Biasanya, bila diberitahu yang kita menghidap kanser, semua orang takut. Seperti tamatlah riwayat kita, begitu,” seloroh Dr Shanggar.
Beliau menceritakan pengalamannya sendiri mengendalikan seorang pesakit yang disahkan menghidap kanser prostat kira-kira lapan tahun lalu.
Ketika itu, pesakit yang berusia lebih kurang 72 tahun itu tampil mendapatkan rawatan kerana mempunyai masalah buang air kecil.
“Dia tiada masalah apa-apa penyakit lain. Tiada kencing manis, darah tinggi semua tiada. Sihat sahaja, tetapi masalah kencing,” kata Dr Shanggar.
Tambahnya, pesakit itu mengadu kerap ingin membuang air kecil sehingga mengganggu tidurnya pada waktu malam akibat terjaga beberapa kali.
Selain itu, aliran kencing pesakit itu juga kurang deras berbanding kebiasaannya.
Selepas menjalankan pemeriksaan lanjut dengan teliti, Dr Shanggar mendapati yang pesakit itu menghidap kanser prostat.
Pesakit Masih Bertahan Sehingga Hari Ini
Maka, beliau selaku doktor perlu membuat keputusan sama ada pesakit itu perlu menjalani rawatan ataupun tidak.
“Jadi saya bagi dia cadangan, kita memantau sahaja melalui repeated surveillance. Buat ujian PSA (Antigen Khusus Prostat) setiap tiga bulan, kita periksa, mungkin kita buat biopsi lagi selepas satu atau dua tahun.”
Pesakit itu kini masih bertahan pada usia lebih kurang 80 tahun tanpa perlu melalui sebarang rawatan, demikian menurut Dr Shanggar.
“Satu berita yang sangat baik untuk pesakit. Tak payah melalui pembedahan ke, radioterapi ke.
“Selagi kita dapat kesan awal dan pesakit mengikuti pemeriksaan susulan, walaupun ia (kanser) ada perkembangan menjadi lebih teruk, tapi kita dah tangkap awal dah,” jelas Dr Shanggar.
“Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”
Dengan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), MASKULIN tampil dengan sebuah kempen kesedaran kanser prostat sepanjang bulan November ini.
Bertemakan “Kuasa MASKULIN, Lawan Kanser Prostat”, kempen ini bertujuan mendidik dan memberikan informasi yang tepat mengenai kanser prostat kepada masyarakat umum, khususnya lelaki. Ini termasuk maklumat mengenai faktor risiko, cara pencegahan dan pilihan rawatan yang ada.
Untuk maklumat lanjut mengenai kanser prostat, layari laman sesawang Beat Prostate Cancer.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI