Selepas kira-kira dua tahun acara larian dan seumpamanya menyepi kini pelbagai program telah diatur dan bakal dilangsungkan oleh beberapa penganjur. Salah satu pemain penting dalam penganjuran acara larian di Malaysia dan sangat popular di kalangan penggemar aktiviti ini ialah JomRun. Ia merupakan aplikasi cukup popular bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Asua Tenggara.
Terbaru, JomRun bakal membawa semula cabaran ikonik JomRun KL Tower International Towerthon Challenge (KLTITC) selepas menyepi selama dua tahun. Pertandingan larian tangga paling terkemuka di Malaysia ini bakal dilangsungkan pada 14 Ogos, Ahad jam 6 pagi. Mereka menjangkakan seramai 2,000 peserta akan mengambil bahagian.
Mengulas mengenai pengembalian KLTITC, Chang Yi Hern, Pengasas dan Pengarah Urusan JomRun berkata, “Kami amat berbangga dapat membawa kembali salah satu larian yang terkemuka di Malaysia. JomRun KL Tower International Towerthon Challenge telah mencabar dan memberi inspirasi kepada beribu-ribu orang selama ini dan kami yakin ia akan melakukan perkara yang sama sekali lagi pada tahun ini.
“Di JomRun kami berhasrat untuk mencipta lebih banyak peluang secara konsisten untuk penggemar larian maraton sambil mempromosikan gaya hidup sihat secara menyeluruh. Saya percaya bahawa Towerthon ini mencapai kedua-dua objektif ini melalui status ikonik dan cabaran uniknya.”
“Sebagai penganjur larian menara profesional yang pertama dan satu-satunya di Malaysia dengan perlumbaan yang mematuhi peraturan Persatuan Dunia Towerrunning, kami telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan setiap peserta dijamin.
“Ini bermaksud, untuk mengelakkan sebarang kecederaan atau kecelakaan, pelari akan berlari menaiki menara seorang demi seorang dan pemenang akan dijuarakan berdasarkan masa yang diambil untuk menyelesaikan keseluruhan cabaran.
“Tahun ini, kami gembira melihat majoriti peserta kami setakat ini terdiri daripada warga Malaysia dan warga asing dari Singapura, Brazil, Jepun, Jerman dan banyak lagi – dengan peserta tertua kami berusia 73 tahun dan yang termuda hanya 11 tahun. Kami berharap lebih ramai orang menyertai larian dan menguji kebolehan mereka!” tambah Yi Hern.
Buat anda yang ingin menyahur cabaran ini, pendaftaran bagi KLTITC sudah dibuka dan bakal ditutup pada 12 Ogos 2022. Warganegara Malaysia yang ingin menyertai boleh menikmati kadar istimewa pendaftaran awal yang berharga RM80 manakala peserta antarabangsa boleh berdaftar sekarang pada harga RM120.
Setiap peserta yang mendaftar akan layak menerima barangan berikut- sehelai jersi acara daripada Ultron Superlite, bib perlumbaan dengan cip pemasaan TrackAsia RFID, sijil digital, insurans kemalangan diri, jamuan ringan dan pingat penamat bagi mereka yang berjaya melengkapkan cabaran. Para peserta yang berjaya mengakhiri acara ini juga boleh memilih untuk menambah jersi Premium Finisher eksklusif yang tersedia pada harga diskaun RM49.99.
Pemenang dari kategori terbuka masing-masing akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM1000 dan sebuah piala, tempat kedua bakal menerima hadiah wang tunai RM 500 dan piala dan tempat ketiga pula bakal menerima hadiah wang tunai RM250. Bagi kategori veteran, pemenang akan menerima RM 500, RM250 dan RM 100 setiap sendiri berserta piala.
KLTITC dikuasakan oleh JomRun dengan Rakan Kongsi Pakaian Rasmi, Ultron – sebuah jenama pakaian larian No.1 Malaysia. Acara ini disokong oleh JomRun Running Club, TrackAsia – cip pemasaan RFID premium Malaysia dan Menara KL Malaysia.
Berkata tentang KLTITC, Ainol Shaharina binti Sahar, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur berkata, “Terdapat keterujaan yang besar di kalangan pasukan kami untuk akhirnya mengalu-alukan komuniti berlari kembali ke Menara KL.
“Setelah bersabar selama 2 tahun, kini pelari dapat merasai cabaran unik JomRun KL Tower International Towerthon Challenge sekali lagi. Larian ini mengukuhkan Menara KL sebagai destinasi yang mesti dikunjungi untuk budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.
Jangan lupa subscribe YouTube MASKULIN!