Kawasaki memilih Tokyo Motor Show (TMS) 2017 untuk mendedahkan model sekian lama dinantikan Z900RS. Kawasaki Z900RS didatangkan dengan komponen spesifikasi lebih tinggi berbanding motosikal moden Z900 sedia ada di pasaran.
Model itu masih berkongsi enjin yang sama dengan Z900 bersesaran 948cc 4-silinder. Namun enjin Z900RS ditala bagi meningkatkan kuasa julat pertengahan. Enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa 111hp pada 8,500rpm dan tork 98Nm pada 6,500rpm.
Kehadiran Kawasaki Z900RS bagi memberi penghormatan kepada model legenda Z1. Walaupun penampilannya sangat kental dengan imej retro tetapi Z900RS memiliki ciri moden antaranya dua mod kawalan traksi, lampu LED, klac slip-assist dan kaliper radial.
Sementara aura retro boleh dilihat pada rekaan lampu depan bulat dan tidak ketinggalan cermin sisi yang turut didatangkan dalam bentuk bulat. Ia kemudian dilengkapkan dengan ekzos keluli tahan karat.
Rekaan bar hendal yang rata bersama kluster instrumen pod berkembar meningkatkan lagi aura tunggangan retro klasik. Bahagian tangki minyak bersaiz 17 liter.
Jentera dengan berat 215kg itu dipadankan dengan rim 17-inci bersama tayar gaya retro dari Dunlop GPR-300 sebagai standard. Keselesaan tunggangan diserahkan kepada suspensi USD boleh laras 41mm di depan dan monoshock boleh laras di belakang. Untuk menghentikan jentera itu, Z900RS dipasang degan brek cakera berkembar 300mm. Sementara ciri ABS didatangkan sebagai pilihan.
Kawasaki menawarkan lima pilihan warna bagi Z900RS iaitu Candytone Brown, Candytone Orange, Metallic Spark Black, Flat Ebony dan Metallic Matte Covert Green.
Pihak Kawasaki turut mempamerkan Edisi Istimewa Z900RS seperti Doremi Collection dengan beberapa perubahan antaranya pelindung enjin, ekzos dan semburan cat dengan tulisan Doremi Collection.