Aircond kereta anda boleh tahan sejuk serta tahan lama jika cara penggunaan anda adalah betul dan tidak boleh menjurus kepada kerosakan yang minima.
Anda perlu tahu bahawa aircond berfungsi sebagai satu litar yang tertutup dan mempunyai bahagian yang bertekanan tinggi serta rendah.
Dalam bahagian bertekanan tinggi, coolant ataupun ejen penyejuk (dalam bentuk gas) disedut masuk ke bahagian kompresor yang dipacu oleh enjin. Itulah bunyi yang anda dengar di bahagian enjin bila kompresor mula berfungsi.
Seterusnya untuk bahagian bertekanan rendah, cecair penyejuk bertekanan tinggi tadi akan ditolak masuk menerusi expansion valve dan terus ke bahagian evaporator (juga dipanggil cooling coil) di dalam kabin kenderaan.
6 TIP PENJAGAAN AIRCOND KERETA DENGAN CARA MUDAH
Cara paling berkesan agar penyaman udara cepat sejuk ialah memastikan kereta anda berada di bawah tempat teduh ataupun berbumbung. Kami tahu bukan senang untuk mencari tempat teduh terutamanya di tempat parkir terbuka tetapi jika ada ia satu bonus untuk anda dan kereta anda.
Satu kelebihan jika anda tahu di mana bayang bangunan akan berada pada waktu tertentu jika anda meletakkan kereta anda dicelah-celah bangunan sewaktu pergi ke tempat kerja. Biasanya jika satu-satu petak itu disinari cahaya matahari pada waktu pagi, menjelang tengah hari atau petang ia akan dibayangi bayang bangunan (pastikan ada bangunan la bukan guard house saiz kotak mancis).
Walaupun haba di dalam kereta anda tetap panas tetapi teduhan bayang-bayang akan mengurangkannya. Takdelah rasa macam memandu oven sewaktu balik dari pejabat.
Satu cara lagi ialah dengan menggunakan kepingan pelindung matahari yang boleh didapati di kedai-kedai aksesori kereta. Ini juga akan mengurangkan baha didalam kereta anda.
Ini satu cara klasik yang biasa digunakan oleh orang dulu-dulu termasuklah bapa saya sendiri. Jika langkah di atas tidak dapat dilakukan dan keadaan dalaman kereta anda sama panas dengan Gurun Sahara, adalah lebih baik jika anda salurkan udara luar masuk dengan membuka tingkap kereta anda sebelum menghidupkan penyaman udara.
Langkah terbaik ialah dengan membuka semua tingkap dan pandu kereta anda seketika. Pemanduan yang baik ialah sekitar 10-15km/j dan mengambil selekoh 90 darjah jika ada. Inertia sewaktu membelok akan menolak udara panas keluar ke sisi dan menyedut udara segar masuk dari sisi yang satu lagi.
Teknik ini juga sesuai digunakan jika anda terlepas membuang angin akibat memakan telur rebus sewaktu dalam perjalanan mengambil pasangan anda dari tempat kerja ataupun nak pergi dating.
Anda mesti tidak gembira jika seseorang mengejutkan anda di tengah malam buta bukan? Silap-silap dapat tendangan sisi Haliborange Tae-Kwan-Do free. Begitu juga dengan penyaman udara, mulakan dengan hembusan yang perlahan sambil meningkatkan putaran kipas dan kurangkan suhu.
Jangan main terjah saja. Bahkan jika penyaman udara anda mempunyai mod ‘Auto’, perhatikan yang biasanya ia akan bermula dengan tetapan perlahan dan kemudian semakin kuat.
Bila penyaman udara sudah sejuk, sentiasa pastikan ia berada dalam mod recirculation untuk mengelakkan udara panas dari luar masuk ke dalam. Ini akan menyebabkan penyaman udara anda bekerja dengan lebih relaks.
Bila berhenti nak keluar dari kereta, jangan terus mematikan enjin anda tanpa mematikan suis penyaman udara terlebih dahulu, ini akan membuatkan sistem penyaman udara mengalami kejutan.
Langkah sebaiknya ialah matikan suis penyaman udara sebelum anda sampai ke destinasi. Pada masa ini biasanya kabin dalaman sudahpun cukup sejuk, memadai dengan hembusan udara daripada kipas elektrik dalaman sahaja.
Bila anda sudah mematikan suis penyaman udara, pastikan kelajuan blower ataupun kipas berada pada tetapi ‘Med’ ataupun ‘High’.
Kenapa? Pernahkah anda perhatikan takungan air di bawah kereta anda bila anda berhenti? Itu ialah air daripada evaporator kereta anda. Ianya dalam keadaan hampir mencecah takat beku bila udara panas bergerak menghampirinya, jadi proses kondensasi berlaku lalu menghasilkan titisan air tersebut.
Menghidupkan kipas sewaktu penyaman udara dimatikan akan mengeringkan bahagian evaporator. Ia juga berfungsi memastikan kulapuk dan juga kulat tidak akan terhasil di dalam ruang evaporatoranda. Inilah punca bau hapak yang selalu anda hidup di dalam kabin kereta anda.
Sama seperti kereta, sistem penyaman udara juga perlu diservis. Cecair penyejuk perlu ditukar, kompresor juga perlukan minyak khusus untuk kelancaran operasi. Komponen-komponen seperti expansion valve dan penapis juga perlu ditukar untuk memastikan penyaman udara anda beroperasi secara optima.
jangan terlampau dalam menggunakan penyaman udara. Jika suhu di luar terlalu panas, jangan ghairah untuk menyejukkan kereta anda. Tubuh manusia mempunyai hadnya, dan jika anda keluar ke bawah cahaya matahari dari kabin kereta yang sejuk, mau jatuh demam tau. Suhu yang ideal untuk keselesaan kita sebenarnya memadai sekitar 24-25 darjah Celsius.
Sumber: Pusat Kereta Azbi Centre