Ramai di antara kita sebenarnya mengetahui akan kepentingan dan kebaikan bersenam pada setiap hari. Tetapi ianya bukan suatu perkara yang mudah sekiranya anda tewas dengan kemalasan diri sendiri apatah lagi tiada motivasi untuk melakukan senaman secara berseorangan.
Salah satu cara yang terbaik untuk meningkatkan motivasi diri untuk terus bersenam adalah dengan mencari kawan untuk turut serta bersenam.
Akauntabiliti (Tanggungjawab Bersama)
Anda dan rakan senaman boleh saling bertanggungjawab. Jika salah seorang daripada anda kehilangan motivasi, yang lain boleh membantu mengembalikan semangat.
Perasaan bersalah sering menjadi pemangkin terutama apabila anda rasa malas untuk bangun dan pergi bersenam, tetapi rakan anda sudah berada di luar menunggu untuk berlari bersama.
Seronok
Bersenam sebenarnya boleh menjadi seronok bila bersenam bersama rakan anda. Sekiranya anda berseorangan, perasaan bosan akan muncul disebabkan tiada benda yang menarik untuk dihiburkan.
Ditambah pula, jika anda pernah berlari, pasti anda tahu bahawa mempunyai pasangan menjadikan aktiviti itu lebih mudah dan menyeronokkan.
Persaingan yang sihat
Jika anda seorang yang berdaya saing, bersenam bersama rakan boleh mendorong anda untuk berusaha lebih keras daripada bersenam sendirian.
Sebagai contoh, anda tentu tidak mahu dilihat sebagai orang yang lemah hanya kerana sempat habiskan 5km sahaja ketika berlari berbanding rakan anda sebanyak 7km. Tapi kena ingat satu benda, jangan terlalu bersaing sehingga hubungan anda menjadi seperti “musuh dalam selimut” atau “frenemy.”
Keselamatan terjamin
Bergantung pada masa dan tempat anda bersenam, mempunyai rakan boleh menjamin keselamatan bersama.
Berlari di bahu jalan raya pada waktu pagi yang masih gelap boleh berisiko sekiranya berseorangan dan akan mengundang bahaya yang tak diingini. Lebih baik dan lebih selamat jika ada rakan yang boleh bersama anda.
Kepelbagaian aktiviti
Walaupun anda dan rakan senaman mempunyai minat yang sama, mungkin ada beberapa perbezaan. Mungkin rakan anda suka bermain bola dan itu adalah sesuatu yang tidak pernah anda cuba.
Jadi, cubalah bermain bola bersama-sama. Kemudian, cari aktiviti yang anda suka dan ajak rakan anda untuk mencuba sesuatu yang baru juga. Mengubah rutin boleh menjadikan senaman lebih menyeronokkan dan tidak membosankan.
Rehat dari kesibukan bekerja
Seharian kita sibuk bekerja apa kata rehat seketika demi mengurangkan stress. Bersenam bersama rakan memberikan peluang untuk berbual mengenai perkara peribadi, berbincang mengenai politik, berkongsi berita menarik tentang diri anda atau keluarga atau sekadar meluahkan perasaan tentang sesuatu yang berlaku di tempat kerja.
Bersama rakan senaman memberi anda ruang untuk menjauhkan diri seketika daripada tanggungjawab hidup dan menikmati masa untuk menjaga kesejahteraan sosial.
Mempunyai matlamat yang sama
Mungkin anda dan rakan senaman sama-sama menyasarkan untuk menyertai pertandingan ataupun berlari untuk kuruskan badan. Apabila kita mempunyai matlamat yang sama dengan orang lain, ia kembali kepada idea untuk menjadikan senaman lebih menyeronokkan.
Mencapai matlamat yang telah anda dan rakan tentukan bersama juga boleh menjadi pendorong yang kuat untuk terus berusaha.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.