Dah ada plan nak berbuka puasa dekat mana musim Ramadhan ni? Tanya nak makan mana pun susah nak jawab, apa lagi nak makan mana untuk berbuka puasa. Masa-masa inilah semua umat Islam nak berbuka dengan kawan-kawan sekolah, kawan-kawan Universiti dan keluarga. Ramadhan merupakan bulan mulia yang paling ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Dan pastinya, ada segelintir anda yang dah set untuk makan dimana, namun restoran atau café tersebut sentiasa penuh.
Mungkin anda boleh ubah dengan membeli makanan di bazar Ramadhan dan nikmatiknya bersama rakan-rakan anda di tempat lapang seperti taman atau kawasan riadah? Ini antara tempat-tempat yang sesuai:
1) Putrajaya
Putrajaya sememangnya menjadi tarikan pelancong sejak ia dibina lagi. Di Persint 3, bersebelahan dengan Mahkamah Putrajaya ada terletakknya Bazar Ramadhan besar-besaran. Jika anda kerja atau tinggal berhampiran dengan Putrajaya, mungkin anda boleh ke sini dan hampar tikar atau surat khabar dan nikmati konsep picnic bersama rakan-rakan atau keluarga. Jika anda nak jauh sikit, boleh ke jambatan Gemilang, Putrajaya. Sana juga mempunyai pemandangan menarik. Selepas berbuka puasa, anda boleh singgah seketika di Masjid berdekatan untuk menunaikan solat Maghrib.
2) Tasik Shah Alam
Kepada anda yang tinggal di kawasan Shah Alam, anda boleh ke Tasik Seksyen 2 Shah Alam dan nikmatilah juadah berbuka puasa di sana. Dalam kawasan itu juga anda boleh membeli makanan dan minuman untuk dijadikan juadah berbuka. Ataupun anda boleh singgah sebentar di Bazar Ramadhan berdekatan untuk membeli juadah. Bazar Shah Alam terletak di hadapan PKNS.
3) Dataran Merdeka
Semestinya jika anda nak merasakan kemeriahan, anda boleh hampar tikar di padang Dataran Merdeka dan nikmati buka puasa dengan sahabat handai dan keluarga. Ini memang sesuai dijadikan aktiviti riadah hujung minggu. Selain daripada menjadi pusat tarikkan pelancongan, tourist juga gemar untuk berkunjung ke sini untuk turut menyertai berbuka puasa bersama rakan-rakan Islam mereka.
4) Bulatan Meru, Ipoh
Ini untuk mereka yang berada di Ipoh. Bulatan ini telah menjadi tarikan tempatan untuk beriadah. Macam-macam aktiviti yang boleh anda lakukan untuk beriadah di sini termasuk berbuka puasa. Jika rakan anda dari KL datang dan nak berbuka puasa dengan anda. Gurau dengan mereka “jom berbuka dekat roundabout” pasti mereka ingat bulatan yang sesak dengan kereta di KL. Pasti mereka akan terkejut dengan permandangan dan keselesaan bulatan ini.
5) Dataran Pahlawan, Bandar Melaka
Boleh juga hampar tikar di sini dan nikmati juadah berbuka puasa. Apa yang pasti Bandar Melaka merupakan kawasan tumpuan perlancongan di Melaka. Jadi ini memudahkan anda untuk berjumpa dan beriadah, mungkin setelah tamat berbuka puasa dan solat, anda boleh habiskan masa dengan keluarga dan rakan-rakan di dalam pusat membeli-belah. Musim nak raya ni kan? Banyak nak beli ni.
6) Padang Majlis Perbandaran, Kuantan
Jika anda ke bandar Kuantan pada bulan Ramadhan, jangan lepaskan peluang untuk merasai kemeriahan berbuka puasa beramai-ramai di sini. ia hanya bersebelahan dengan Masjid Negerinya. Kalau kena pada waktunya terutama hujung minggu, jumlah mengunjung yang berbuka puasa di atas padang ini boleh mencecah sehingga ribuan orang untuk satu masa.