Kegiatan sosial kini sudah beransur kepada normal. Lihat sahajalah di sekeliling anda pelbavai aktiviti sosial rancak berjalan semula. Ini termasuklah aktiviti larian di lokasi-lokasi popular di seluruh negara seperti di trek, tasik dan juga taman-taman yang indah.
Malah ura-ura penganjuran pertandingan larian juga dikatakan akan diadakan semula dalam tempoh terdekat. Pastinya ia satu berita gembira buat kaki lari di negara kita. Iyalah selepas lebih dua tahun tidak dapat menyertai acara larian besar-besaran, kini ia mungkin menjadi realiti semula.
Buat anda yang mungkin telah lama tidak berlari, mungkin sekarang adalah masa sesuai untuk kembalikan stamina serta kecergasan diri. Namun untuk melakukan larian jarak jauh seperti separuh maraton anda juga perlu bersedia dengan kecederaan kaki.
Kecederaan yang biasa berlaku ialah blister atau melecet. Namun jika tahu bagaimana untuk mengelak ia berlaku pasti masalah kecederaan seperti ini tidak lagi menghantui anda.
Permukaan kulit yang melecet ketika berlari terutamanya di bahagian tapak kaki akan membuatkan ia menggelembung dan mempunyai air. Turut dikenali sebagai blister, ini merupakan kondisi yang berlaku akibat daripada geseran kaki dan stoking yang anda pakai.
Selain itu kaki yang terlalu basah akibat peluh atau kasut basah juga boleh menyebabkan blister. Ini kerana keadaan basah tersebut membuatkan kulit kaki menjadi lembut lalu lebih mudah berlakunya pergeseran.
Memakai kasut yang terlalu kecil atau ketat juga boleh menyebabkan kaki melecet. Begitu juga memakai kasut yang sedikit longgar dan menyebabkan pergerakan terlalu banyak kaki dalam kasut.
CARA MENGELAK KAKI MELECET BERLAKU
Ingat, jangan guna stoking sembarangan. Belilah stoking yang dihasilkan untuk larian sahaja. Stoking larian mempunyai bentuk yang cukup fit untuk kaki anda dan menggunakan material yang tidak menahan air. Sesetengah pelari aktif memakai dua lapisan stoking untuk perlindungan tambahan.
Semasa berlari kaki anda akan jadi sedikit besar. Oleh itu kasut larian anda seharusnya pada setengah saiz atau satu saiz lebih besar dari kasut kasual anda. Pada bahagian ibu jari seharusnya ada ruang sedikit.
Jika anda mendapatkan rawatan atau khidmat pedicure, pastikan mereka tidak membuang kulit lebihan atau calluses di tapak kaki dengan menggunakan pisau cukur atau emery board. Kulit keras di bawah tapak kaki anda itu sebenarnya bertindak menjadi pelindung dari blister.
Sesetengah pelari aktif menggunakan moleskin atau tape di bahagian kritikal pada kaki untuk mengelak berlakunya blister. Namun anda perlu ingat jiak menggunakan tape elakkan kulit kaki dari berkedut akibat terlalu ketat.
Salah satu teknik mudah untuk elak kaki melecet ialah dengan menyapu lubricant atau Vaseline di bahagian kritikal. Ia akan membantu kaki anda bergerak lebih baik di dalam kasut dan mengurangkan berlakunya pergeseran.