5 sebab ni pasti ramai yang buat, sebab tu tak sampai hujung bulan baki gaji dalam bank dah lesap.
Nak salahkan mamak pun tak boleh juga, kita tu yang suka sangat melepak. Mentang-mentang banyak kedai mamak beroperasi 24 jam, kalau boleh nak lepak lama-lama dekat kedai mamak. Patutlah asyik penuh je restoran mamak kan? Harga takdelah murah mana.
Nak lepak dengan kawan-kawan seminggu sekali di kedai mamak tu logik lagi, tapi kalau hari-hari nak lepak sini, berjam-jam pula tu, air pun minum 3-4 round, memang cari nahas namanya.
Dahlah gaji kecik, tiap kali ada model telefon baru keluar; mulalah rasa gelisah. Gaji bulanan baru RM2,500, model iPhone terbaru RM3,500 – sanggup tu nak swipe kad kredit semata-mata nakkan gajet yang terbaru. Bulan-bulan sedap je bayar minima 5%, memang sekejap lah cecah kredit limit tu.
Inilah yang orang sebut sebagai biar papa, asal bergaya. Sanggup makan Maggi hari-hari, asalkan gajet terkini ada untuk ditayang. Yang paling tak tahan, telefon mahal berharga ribuan ringgit, tapi kredit pun takde!
Lagi satu masalah kebanyakan orang kita adalah suka melepak tempat mahal, seolah-oleh bergaji 5 angka setiap bulan. Kalau melepak sambil bincang bisnes tu ok lagi, ini sembang kosong je.
Harga kopi ice blended – RM14.
Tak salah kalau kita hadkan minum kopi mahal sebulan sekali, tapi kalau seminggu sampai 3-4 kali, apa kes?
Selepas sibuk bekerja, maka gymnasium adalah di antara tempat popular selepas waktu pejabat. Dengan berimpikan badan yang fit dan sado, senanglah nanti nak jadi model atau artis. Ops, jangan marah, gurau je.
Yuran keahlian – RM150 sebulan.
Dengan yuran keahlian menelan belanja beratus ringgit setiap bulan, last-last perginya seminggu sekali je. Tapi tahukah anda, keahlian gym ni biasanya paling laris bila hujung tahun. Time tu lah ramai orang berazam nak kurus, jadi terpaksalah jadi ahli gym sebab nak kurus sebagai azam tahun baru.
Padahal, boleh sahaja workout di rumah, lebih jimat.
Laman e-commerce seperti Lazada semakin mencuri perhatian (dan juga wang) orang ramai. Maklumlah iklan mereka berada di merata-rata. Nak pula dengan strategi mereka yang suka beri baucar diskaun, ditambah pula dengan kemudahan penghantaran percuma ke pejabat atau pun ke rumah, memang begitu mudah dan menjimatkan petrol dan masa daripada kita bersesak ke pusat membeli-belah.
Memang tak dinafikan harga yang ditawarkan di laman e-commerce kebiasaannya lebih murah jika dibandingkan di kedai-kedai biasa dan juga pasaraya besar.
Kalau untuk penjimatan takpelah juga, tetapi kalau dah setiap minggu klik button “ADD TO CART” boleh menjadi ketagihan yang berbahaya kepada dompet. Mana taknya, dengan beberapa klik boleh terus buat pembayaran, dan pesanan telah disahkan…Tahu-tahu je barang sampai.
Sedar tak sedar, banyak duit habis telah habis di sini.
Kenalpasti perbelanjaan yang tidak diperlukan dan terus tinggalkannya. Duit lebih tu eloklah dibuat simpanan sebagai modal untuk melabur. Tak salah nak reward diri sendiri sebulan sekali, itu pun kalau berjaya kurangkan perbelanjaan dan ada duit lebih sikit untuk dibelanjakan.
Sumber: Majalah Libur