TIP KURANGKAN BERAT BADAN KETIKA BERPUASA
BARANGKALI MENTALITI SESETENGAH MASYARAKAT YANG MENGAMBIL MAKANAN DALAM KUANTITI YANG BANYAK KETIKA BERSAHUR SUDAH SEBATI DENGAN KEHIDUPAN MEREKA MENJELANGNYA RAMADAN. MUNGKIN BIMBANG AKAN MERASA LETIH DAN LAPAR MENGHERET MEREKA UNTUK BERBUAT DEMIKIAN. SEDANGKAN AMALAN BERIKUT BOLEH MENGUNDANG KEMUDARATAN KEPADA KESIHATAN.
1.KURANGKAN PENGAMBILAN MAKANAN YANG TINGGI KANDUNGAN GULA, MINYAK SERTA LEMAK
Makanan ini mengandungi tinggi kalori. Jika anda tidak dapat menahan diri daripada mengambil makanan ini, ambillah dalam kuantiti yang sedikit. Di sebalik tuntutan menahan nafsu lapar dan dahaga, ibadah berpuasa membantu meningkatkan keupayaan sistem dalaman dengan berkesan. Usah bebani tubuh anda dengan jumlah makanan yang banyak tetapi tidak diperlukan oleh badan. Sewajarnya, aturlah pelan diet secara bijak dengan memilih makanan yang sesuai.
2.HADKAN PENGAMBILAN AIR MANIS SEPERTI AIR SIRAP ATAU KORDIAL
Utamakan pengambilan air kosong dan jus buah-buahan yang tidak ditambah gula. Susu rendah lemak juga merupakan pilihan minuman yang baik.
3.BERI PERHATIAN PADA SAIZ HIDANGAN ANDA
Kebiasaannya, kita akan makan dengan banyak apabila terlalu lapar. Oleh itu sentiasa ingat untuk mengekalkan saiz hidangan yang kecil, walaupun mengambil makanan yang rendah lemak.
Kekalkan corak pemakanan yang ringkas dan seimbang dalam diet Ramadan anda. Sebagai contoh, ambil makanan yang lambat dihadam atau makanan berserat tinggi yang berupaya menyokong keperluan badan selama 8 hingga 12 jam. Antara makanan yang lambat dihadam seperti barli, gandum, kekacang dan oat yang turut dikenali sebagai karbohidrat kompleks.
4.LEBIHKAN PENGAMBILAN BUAH-BUAHAN DAN SAYUR-SAYURAN
Makanan ini bukan sahaja mengenyangkan, malah boleh meningkatkan pengambilan serat harian anda. Banyakkan makanan yang tinggi kandungan seratnya dengan mengambil sayur-sayuran hijau seperti bayam, bijirin, kekacang dan buah-buahan seperti kurma, apricot kering dan prun. Pastikan sajian berbuka anda mengandungi setiap kumpulan makanan iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ayam, ikan, roti dan produk tenusu.
5.JANGAN LUPA UNTUK MELAKUKAN SENAMAN RINGKAS. BERPUASA BUKAN ALASAN UNTUK ANDA TIDAK MELAKUKAN SENAMAN
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
8 Makanan Berbahaya Untuk Badan Anda. Awas! No 8 Tu Paling Kerap Anda Makan
Bagi memastikan anda terhindar daripada penyakit berbahaya, ambillah makanan yang berkhasiat. Jangan gara-gara nak mencuba, anda beranikan diri untuk mengambil makanan yang membahayakan badan anda.
Di sini disertakan 8 makanan yang paling kerap anda makan sebenarnya boleh merbahayakan badan anda.
1. Susu mentah
Susu yang selalu dibeli daripada pasaraya telah dipasteurkan, tetapi ada di antara kita yang minum dan membuat keju daripada susu mentah. Susu yang belum dipasteurkan (dipanaskan kepada suhu tinggi dan disejukkan dengan cepat) mendatangkan risiko kerana ia mungkin mengandungi bakteri salmonella, E. coli dan listeria.
2. Kerang
Walaupun anda tidak mengalami alergi kerang-kerangan, kalau boleh jauhkan daripada memakan kerang. Cengkerangya boleh menyerap dan menyimpan Hepatitis A, tifoid dan disentri kerana ia hidup di kawasan kurang oksigen. Menurut kajian, perang dari Perairan China dikaitkan dengan wabak hepatitis.
3. Tauge
Tauge merupakan makanan yang paling cenderung untuk mengumpul E. coli, salmonela dan listeria bakteria yang hidup di dalam cuaca panas dan lembap, di mana benih tauge membesar. Tauge yang ditanam di negara Jerman dikenalpasti sebagai punca wabak E.coli yang membunuh 22 orang dan menyebabkan ratusan lagi sakit di Eropah pada tahun 2011.
4. Kacang gajus mentah
Meskipun anda tiada alergi kacang, jangan sesekali makan kacang gajus mentah terus dari pokoknya. Ia mengandungi bahan toksik yang boleh mengancam nyawa, sekiranya diambil dalam kuantiti yang banyak. Kacang gajus yang dijual di pasar raya selamat dimakan kerana sudah distim untuk membuang kimia yang berbahaya.
5. Kacang tanah
Kacang tanah tidak berbahaya jika anda tiada alergi kacang. Kacang tanah merupakan punca nombor satu kematian disebabkan alergi makanan berbanding dengan makanan lain. Agak menakutkan sekirannya anda mengambil kira satu peratus daripada populasi dunia ada alahan terhadap kacang tanah.
6. Ubi kayu (Cassava)
Ubi kayu adalah makanan yang popular di benua Afrika dan Amerika Selatan serta negara bercuaca tropika termasuk Malaysia. Jika anda makan ubi ini mentah-mentah, enzim di dalam tiub ubi kayu akan bertukar kepada sianida.
7. Cendawan liar
Sesetengah jenis cendawan liar nampak seperti tidak berbahaya, tetapi ia sebenarnya boleh mengancam nyawa, contohnya cendawan yang dipanggil ‘Death Cap’ (lihat gambar). Jika anda mencuba cendawan ini, kemungkinan besar anda akan mengalami sakit abdomen dan muntah. Sekiranya anda makan dalam kuantiti yang terlampau banyak, ianya boleh meyebabkan kerosakan hati, buah pinggang dan jantung yang seterusnya boleh membawa kematian.
8. Daging proses
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 Oktober 2015, memakan daging yang diproses boleh menyebabkan kanser usus, manakala daging merah adalah karsinogenik (berpotensi menyebabkan kanser). Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan mengenai Kanser (IARC), agensi kanser khusus WHO, menyamakan daging proses seperti hot dog, sosej dan bakon dengan agen karsinogenik seperti tembakau, asbestos dan asap diesel. Ini adalah makanan yang boleh membuat anda jatuh sakit, malah boleh membunuh.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Kerja Makan Gaji Memanglah Susah Nak Bebas Dari Beban Hutang! Ini Kerja Yang Buatnya Tersenyum Lebar Kini
Tiada pengalaman bukanlah penghalang untuk seseorang itu mencapai kejayaan. Selagi ada kemahuan dan kesabaran, hasil yang akan diperoleh pasti terbaik sejajar dengan usaha berterusan. Siapa kita untuk menidakkan takdir yang telah ditentukan oleh Nya. Berbekalkan semangat untuk mengubah kehidupan, kini Khairun Basiran, 30, boleh mengukir senyuman atas pencapaian yang dicapainya sejak empat tahun kebelakangan ini.
Berkesempatan menemu bual anak jati Kuala Kangsar baru-baru ini, cukup mengujakan kerana dari hanya orang yang biasa-biasa sahaja kini Khairun dianggap luar biasa dalam kalangan rakan bisnes.
Memulakan karier sebagai seorang kakitangan kerajaan, Khairun tidak menyangka rezekinya beralih ke bidang perniagaan. Walaupun sudah banyak kali gagal dalam perniagaan tidak sesekali membuatkannya menyesal.
“Mungkin masa saya menjalankan beberapa jenis perniagaan sebelum ini tiada sesiapa yang menasihati saya. Jadi apabila saya terlibat dalam perniagaan Hai-O ini saya rasa lebih yakin kerana adanya mentor yang cukup mengambil berat dan membimbing sehingga berjaya.
“Semasa mula-mula terlibat dalam Hai-O saya tidak tahu adakah saya mampu menjual barangan kesihatan dan kecantikan yang sinonim dengan wanita sedangkan saya seorang lelaki. Macam mana saya nak promosikan? Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran.
“Tambahan pula, semasa saya menyuarakan hasrat kepada kedua ibu bapa dan isteri yang saya mahu berhenti kerja dan menumpukan kepada bisnes networking, saya mendapat tentangan.
“Bukan apa mereka takut saya tidak mampu melakukannya kerana sebelum ini setiap hujung bulan saya akan menerima gaji. Jadi mereka beranggapan ini satu cabaran yang cukup besar buat saya,” katanya.
Khairun berkata, walaupun masih belum ada keyakinan tinggi untuk menjalankan bisnes ini, namun demi untuk mengubah masa depan, saya tawakal dan memberi kepercayaan kepada kedua orang tua dan isteri agar memberi ruang untuk saya membuktikannya. Prinsip saya kalau kita tak cuba kita tak akan tahu hasilnya.
“Dalam masa yang sama, tiada apa yang saya fikirkan pada waktu itu kecuali untuk menjelaskan segala hutang yang ada dan memberi kesenangan kepada ahli keluarga.
“Alhamdulillah pada 2013 saya telah menyertai kumpulan Charismatic Leaders Academy (CLA) di bawah bimbingan mentor CDM Said Saiful Fazli iaitu pengasas CLA yang sehingga kini antara individu yang dikagumi.
“CLA ini dianggap platform terbaik untuk yang berminat menambah pendapatan sampingan tanpa perlu mengeluarkan produk sendiri dan akan diajar bermula dari bawah,” ujarnya.
Penghargaan diri
Mengakui semasa permulaan, agak perlahan juga jualan sehingga sampai satu tahap saya rasa menyesal. Apabila fikirkan semula tidak boleh mengalah, akhirnya saya cuba juga. Segala ilmu dari mentor saya guna pakai dan dari sebulan ke sebulan sudah mula menampakkan perkembangan positif.
“Paling membuatkan saya gembira apabila menerima insentif pakej melancong ke Vietnam sebagai tanda penghargaan pencapaian yang saya peroleh.
“Dari situ saya jadi bersemangat dan berjaya pula mengikuti trip ke Paris, London, Shanghai, Austria dan Hungary atas komitmen dan kejayaan mencapai target yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Menariknya mengenai Khairun, daripada zero dia telah menerima pangkat Crown Diamond Manager (CDM) iaitu pangkat tertinggi dalam organisasi syarikat Hai-O pada 2015 selepas dua tahun serius dalam bisnes.
Daripada seorang yang tiada apa, Khairun juga telah melahirkan dua orang CDM dibawahnya dan sekarang menjadi mentor untuk rakan-rakan bisnes yang lain.
Matlamat jelas
Berbicara mengenai matlamat hidup, Khairun telah mempunyai perancangan khusus demi masa depannya dan insan tersayang. Sebolehnya saya mahu membuat pelaburan dalam bidang hartanah.
“Bidang ini bukan sahaja memberi pulangan yang berganda tetapi tidak rugi. Kita kena bijak merancang dalam keadaan ekonomi sekarang. Apa yang kita buat biar mendapat manfaat.
“Disebabkan saya pernah gagal dalam bisnes yang diceburi, pengalaman itulah yang mematangkan diri. Turun naik lumrah bagi orang berniaga asalkan kita tahu di mana tahap kita untuk terus mengekalkan momentum tersebut.
Sementara itu, mengulas mengenai jaringan bisnes yang dikendalikan sekarang, semangat kerja berpasukan antara yang perlu dititikberatkan. Kita perlu ada satu sikap profesional dan tidak mementingkan diri sendiri.
“Perlu ada tanggungjawab untuk menolong rakan yang lain. Jika konsep ini diamalkan gerak kerja berpasukan berjalan lancar dan kejayaan yang diraih berlipat kali ganda.
“Sebagai orang yang terlibat dalam bisnes, kita juga perlu membuang rasa ego dan malu. Sikap ini antara penghalang untuk seseorang berjaya. Jika kita rasa produk yang kita jual tidak sesuai dengan jiwa sampai bil-bila pun akan kekal berada di takuk yang sama,” tegasnya.
Sudut positif
Bak kata orang, cabaran yang dilalui akan memberi satu inspirasi. Begitu juga buat bapa kepada empat cahaya mata ini. Cabaran sebenarnya membuatkan saya boleh mempertingkatkan diri ke tahap yang lebih baik.
“Melalui cabaran itu saya boleh tahu di mana kelemahan dan kelebihan diri dan secara tidak langsung menjadikan saya anak, suami, ayah, anak didik dan mentor yang lebih baik.
“Saya juga cukup terharu dalam keadaan susah dan senang, isteri, Shafida Sharani sentiasa menjadi tunjang utama dan kini dia juga turut sama terlibat dalam bisnes Hai-O.
“Bagaimanapun saya cukup berterima kasih kepada sifu Multimillionaire CDM Hajah Siti Rohana dan CDM Haji Azlan Deraman yang tidak putus-putus memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada saya dan kumpulan selain mentor Said Saiful Fazli,” akhirinya menutup bicara.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Anda Kerap Sendawa? Ikuti Tip & Cara Kurangkan Angin Dalam Badan
Kembung perut merupakan reaksi terhadap angin dalam perut. Ia terjadi apabila badan bertindak mengeluarkan angin berlebihan yang terhasil daripada minuman dan makanan yang ditelan bersama air liur. Kembung perut adalah masalah biasa yang boleh terjadi kepada semua peringkat umur. Secara purata kebanyakan manusia melepaskan gas 15 kali hingga 40 kali setiap hari.
Angin adalah kesan lebihan gas di dalam usus dan ia bukanlah penyebab utama yang perlu diambil kira. Walau bagaimanapun sekiranya angin ini diikuti dengan gejala lain, anda mungkin perlu bertemu dengan doktor untuk rawatan segera. Walaupun kebanyakan kes kembung tidak merbahaya, ia boleh membawa kepada gejala ketidakhadaman makanan seperti gastroenteritis(cirit birit) atau irritable bowel syndrome(IBS)(cirit birit yang berterusan).
Sekiranya anda mengalami gejala lain seperti sakit perut, najis berdarah, najis berwarna pucat dari kebiasaan dan susah untuk membuang air, sembelit dan/atau kehilangan berat badan, sila berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian dignosa yang lebih lanjut.
Dari segi perubatan, keadaan yang menyebabkan kembung perut adalah:
- irritable bowel syndrome (IBS) “gastroenteritis”
- diverticulosis atau diverticulitis
- penyakit seliak (coeliac disease)
- ketidakhadaman
Tanda-tanda kembung perut
Kembung perut yang berlebihan boleh diikuti oleh gejala lain yang disebabkan gas isi perut.
Perut meragam – berlaku apabila perut bertindak balas dengan cepat , menyebabkan isi perut bergerak ke depan dan belakang. Boleh berlaku apabila anda lapar dan juga boleh terjadi apabila anda murung dan juga berdebar debar.
Kembung – perut anda terasa sangat penuh membuatkan anda terasa untuk sendawa. Ini biasanya berlaku apabila memakan makanan berat yang memerlukan masa yang panjang untuk proses pencernaan
Sendawa – Gas dilepaskan melalui mulut dengan tindakan refleks secara tiba tiba. Keadaan ini berlaku apabila perut dipenuhi dengan angin berlebihan yang biasanya daripada pemakanan, minuman atau merokok.
Kesan kembung perut
- Malu untuk bersosial
- Terlalu merendah diri
Rawatan untuk kembung perut
Kembung perut biasanya dirawat dengan rawatan pemakanan. Pengubahsuaian cara hidup dan juga ubatan tanpa preskripsi doktor juga juga membantu.
Ubat tanpa preskripsi doktor( boleh dibeli di kedai-kedai ubat). Sesetengah ubat seperti di bawah dapat membantu.
- Suplemen Laktosa: sekiranya anda mengalami masalah penghadaman laktosa, enzim laktosa boleh diambil untuk membantu mencernakan laktosa . Anda juga boleh mencuba produk tenusu tanpa laktosa yang terdapat di kebanyakan kedai dan pasaraya.
- Simethicone : mencuba semithicone yang terdapat di kedai ubat dan farmasi dapat membantu memecahkan gelembung gas dan sendawa yang berterusan,
- Activated charcoal : Pil charcoal juga boleh membantu, anda boleh mengambilnya sebelum dan selepas makan dan boleh didapati di kedai ubat dan sebagainya.
Langkah pencegahan kembung perut
Ukuran Pemakanan
- Mengubah amalan pemakanan boleh membantu mengurangkan jumlah gas yang dihasilkan oleh badan atau membantu mengeluarkan gas dengan lebih cepat melalui sistem anda.
- Cuba kenalpasti dan galakkan makanan yang memberi kesan besar kepada anda. Kebanyakan orang tidak dapat menerima makanan seperti kacang, bawang, brokoli, bunga kobis, asparagus, buah pir, epal, buah pic, prun, gula gula tanpa gula, dan gula gula getah, roti gandum, bijiran bran, bir, soda dan minuman berkarbonat, susu, krim, aiskrim, dan susu ais.
- Mengurangkan makanan bergoreng dan berlemak. Kembung terhasil daripada makanan berlemak. Lemak melambatkan proses pencernaan dan meningkatkan rasa perut yang penuh.
- Mengurangkan pengambilan makanan tinggi serat seperti sayuran dan buah sementara waktu . Sekiranya anda mengambil suplemen serat, cuba kurangkan jumlah pengambilan dan ambil semula dengan keadaan beransur ansur. Pastikan suplemen serat diambil bersama sekurang kurangnya 8 auns air dan minum air lebih sepanjang hari.
- Mengurangkan penggunaan produk tenusu harian anda. Cuba menggunakan produk tenusu berlaktosa rendah seperti yogurt. selain susu. Mengambil susu dalam jumlah yang rendah pada satu satu masa atau mengambil susu dengan makanan lain juga memudahkan proses penghadaman. Ada sesetangah kes memerlukan anda untuk terus berhenti dari mengambil produk tenusu.
- Cubalah secawan teh pudina. Minyak pudina mengandungi menthol, yang mempunyai antispasmodic. Anda akan dapati rasa panas secawan teh pudina akan memberikan penyembuhan daripada gas dan kesakitan berpunca dari gas. Dalam hal lain, pudina boleh menyebabkan pedih ulu hati dan tindak balas asid.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI