Buka sahaja mana-mana platform laman media sosial kita pasti tidak akan dapat mengelak daripada melihat tentang filem epik terbaru arahan Syamsul Yusof, ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’.
Malah pada hari ini, GSC Cinema mengumumkan filem tersebut telah berjaya mencatat kutipan Box Office dengan jumlah RM12.2 juta dalam tempoh empat hari tayangan. Ia merupakan satu pencapaian yang sangat luar biasa.
Sehingga kini ia kekal berada di tangga teratas mengatasi filem pecah panggung yang lain seperti ‘Top Gun Maverick’, ‘The Black Phone’ dan ‘Elvis’. Apakah yang menyebabkan ramai orang berpusu-pusu ke pawagam bagi menyaksikan filem yang bertemakan sejarah negara ini?
Berikut merupakan 5 sebab mengapa filem ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’ berjaya memecahkan kutipan melebihi RM12 juta dalam tempoh empat hari sahaja!
Jika dilihat pada trend dalam tempoh dua atau tiga tahun kebelakangan ini, apresiasi atau penghargaan terhadap pemakaian tanjak dalam busana gaya lelaki didapati semakin popular. Selain itu lihat sahajalah pada Hari Raya, pelbagai penggayaan ikatan samping cara lama telah diberi nafas semula. Kemunculan filem ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’ tiba tepat pada masanya.
Memetik kata-kata pengarah dan pembikin filem epik ‘Mat Kilau’, Syamsul Yusof dalam satu temu byual bersama Berita Harian, “Ini kebangkitan dalam banyak aspek dan sudut, Kun Fayakun, tsunami filem Melayu”.
Setakat ini filem ‘Mat Kilau’ telah menjadi filem nombor satu mengalahkan karya Hollywood dan Asia yang lain sedang ditayangkan. Adakah ini menjadi permulaan kepada banyak lagi filem epik bersejarah pada masa akan datang? Melihatkan trend positif ini kita mungkin akan dapat menyaksikan satu era yang cukup baik.
Siapa kata orang kita terutamanya orang Melayu meminggirkan filem tempatan? Jika ada naskah yang mantap seperti ‘Mat Kilau- Kebangkitan Pahlawan’ pasti ia mendapat sambutan yang hebat.
Jika selama ini ada yang menganggap penonton hanya mahukan filem berteraskan gengster, cinta atau ‘rempit’ semata ternyata ia tidak benar. Ini merupakan bukti orang kita tidak pernah memingirkan industri perfileman tempatan.
Seperti mana yang kita tahu tidaklah mudah untuk menghasilkan filem yang berdasarkan kisah sejarah. Namun penyampian menerusi filem ini rata-rata dianggap sangat berjaya menyuntik semangat patriotisme yang ada dalam setiap warganegara.
Dengan sentimen nasionalis yang semakin membara di kalangan anak muda terutamanya telah membantu kejayaan filem ini mencatat jumlah kutipan yang tinggi.
Faktor barisan pelakon memang kita ketahui menjadi salah satu faktor cukup penting bagi menjamin sesebuah filem itu mencatat jumlah kutipan yang baik. Menerusi ‘Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan’, ramai penonton memuji lakonan cukup hebat dari barisan pelakonnya. Selain Dato Adi Putra yang memegang teraju utama sebagai Mat Kilau, di antara yang paling menarik perhatian ialah Fattah Amin yang membawakan watak Awang.
Ramai yang memuji lakonan Fattah Amin yang cukup berbeza dengan filem atau drama pernah dibintanginya sebelum ini. Tidak kurang juga yang terkejut dengan kemampuannya melakonkan watak tersebut dengan sangat baik. Kemunculan Yayan Ruhian, pelakon aksi asal Indonesia juga tidak kurang hebatnya. Manakala Beto Kusyairy pula dianggap di antara ‘MVP’ filem ini.
Jangan lupa untuk subscribe YouTube Maskulin untuk seleksi video menarik seperti di bawah.