Ketika Sir Henry Royce memperkenalkan model Rolls Royce Phantom pada 1925, kereta golongan atasan itu diiktiraf sebagai Kereta Terbaik Dunia. Sejak 92 tahun lalu model Phantom menjadi pilihan pengangkutan golongan berpengaruh dan berkuasa di dunia.
Kini model tersebut sudah tiba generasi kelapan. Model baharu berkenaan menetapkan tanda aras baharu. Tidak hanya menterjemahkan bahasa rekaan kontemporari, Phantom mengalami revolusinya tersendiri. Model berkenaan kini rasmi tiba ke pasaran tempatan dibawakan oleh Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur sebagai pengedar kenderaan Rolls-Royce di Malaysia.
Berikut lima perkara perlu anda ketahui tentang Rolls-Royce Phantom:
1) DUA PILIHAN VARIAN
-Standard Wheelbase: Harga bermula RM2.2 juta.
-Extended Wheelbase: Harga bermula RM2.5 juta.
2) KERANGKA ALUMINIUM (ARCHITECTURE OF LUXURY)
–Phantom generasi kelapan merupakan model pertama Rolls-Royce yang menggunakan seni bina Architecture of Luxury .
-Kerangka Phantom menggunakan aluminium sepenuhnya yang mana 30 peratus lebih kukuh berbanding generasi terdahulu. Malah, ia juga lebih ringan dan menawarkan pengendalian yang mantap.
-Kerangka itu akan digunakan pada semua model baharu Rolls-Royce di masa depan.
3) ENJIN V12
–Phantom dikuasakan oleh enjin pengecas berkembar V12 bersesaran 6.75 liter serba baharu. Enjin itu mampu menghasilkan kuasa 563hp pada 5,000rpm dan tork 900Nm yang boleh dicapai seawal 1,700rpm.
-Penghantaran kuasa ke roda disalurkan menerusi transmisi 8-kelajuan automatik dengan bantuan satelit.
-Prestasi itu membolehkan Phantom memecut dari sifar hingga 100km/j dalam masa cuma 5.4 saat.
4) NVH LEBIH BAIK
-Rolls-Royce mendakwa Phantom merupakan kereta paling senyap di dunia.
-Kedapan kabin lebih baik dicapai menerusi dua lapisan kaca setebal 6mm yang mengelilingi seluruh kereta dengan penebat bunyi lebih daripada 130kg.
-Manakala bunyi bising jalan ditapis menerusi dua lapisan aloi di kawasan antara lantai dan dinding sekatan (bulkhead) pada ruang kerangka.
-Rolls-royce juga bekerjasama dengan pembekal tayar untuk menghasilkan tayar ‘Silent-Seal’– ia dibina dengan lapisan busa spesifik yang melapisi bahagian dalam tayar bagi menghilangkan bunyi bising tayar dengan pengurangan sebanyak 9db.
5) CIRI-CIRI LAIN
-Jentera ultra mewah ini dilengkapi sistem stereo kamera ‘Flagbearer’ yang dipasang pada cermin depan. Ia berfungsi memantau laluan di depan dan mengubah suai suspensi secara proaktif.
-Lampu utamanya menggunakan teknologi lazer termaju yang berupaya memberi suluhan cahaya sehingga 600 meter pada waktu malam. Menurut Rolls Royce lampu LED dan mentol sudah menjadi sejarah.
-Penumpang diberi beberapa pilihan format tempat duduk belakang, sama ada berbentuk lounge atau individual.
-Kemewahan Phantom terserlah apabila masuk ke kabin. Seperti yang boleh dijangka, Rolls-Royce menggunakan material kulit dan kayu paling premium. Keempat-empat buah pintu boleh ditutup secara elektrik menerusi satu sentuhan lembut pada hendal pintunya.