BERAT BADAN BERLEBIHAN ADALAH MASALAH YANG SEMAKIN SERIUS DALAM MASYARAKAT DI MALAYSIA HARI INI. MALAYSIA ADALAH ‘JUARA’ DI ASIA TENGGARA UNTUK MASALAH OBESITI.
RAMAI MENGAMBIL PENDEKATAN MENGURANGKAN MAKAN DAN BERSENAM UNTUK MENURUNKAN BERAT BADAN. TANPA KITA SEDARI, ADA YANG MEMBUAT KESILAPAN DALAM USAHA MENURUNKAN BERAT BADAN. ANTARA KESILAPAN YANG SELALU DILAKUKAN OLEH ORANG RAMAI ADALAH MELAKUKAN ‘DIET’ DENGAN KAEDAH SALAH.
Sesetengah daripada kita yang ingin menurunkan berat badan akan mula melakukan ‘diet’, yang bermaksud tidak makan secara tiba-tiba atau berpuasa secara melampau.
Kaedah ini tidak sihat dan membahayakan kesihatan. Walaupun terlebih makan antara punca berat badan berlebihan, jangan makan terlalu sedikit dan berpantang keterlaluan sehingga anda menjadi terlalu kurus dan mendapat masalah kekurangan zat makanan.
Jika anda terlalu kerap berlapar, sistem metabolisme badan berubah iaitu metabolisme badan turun, dan segala yang anda makan walaupun sedikit disimpan sebagai ‘lemak’ dan ‘otot’ menjadi kecut.
Apabila anda tidak mampu meneruskan ‘berdiet’ melampau seperti ini, anda mula makan tanpa kawalan kerana selera bertambah dan semuanya menjadi lemak.
Berat badan anda bertambah dengan sangat cepat dan menjadi lebih gemuk dari sebelumnya. Akhirnya, anda berdiet semula, dan kitaran ini akan berterusan tetapi gagal menurunkan berat badan.
Sesetengah orang menggunakan kaedah berdiet Atkins yang dipopularkan oleh Dr Robert Atkins pada 1958. Atkins mencadangkan pengambilan karbohidrat dengan jumlah sangat rendah iaitu kurang 20 gram sehari dan mengambil lebih banyak makanan protein dan lemak.
Menurutnya, kaedah ini menyebabkan badan membakar lebih banyak lemak kerana tubuh berubah kepada keadaan ‘ketosis’ dan paras insulin yang rendah menyebabkan hati membakar simpanan glikogen.
Kaedah ini boleh menurunkan berat badan dengan cepat tetapi membiarkan tubuh dalam keadaan berasid dengan ‘ketosis’ adalah tidak baik untuk kesihatan jangka masa panjang.
Ada juga kajian menunjukkan kaedah Atkins boleh menyebabkan masalah batu karang, buah pinggang dan reput tulang (osteoporosis).
Kaedah ini tidak lagi popular sekarang selain menimbulkan kontroversi kerana pemakanan tidak seimbang dengan mengurangkan karbohidrat secara melampau didapati menyebabkan pelbagai masalah kesihatan di kemudian hari.
Menurut kajian Harvard Medical School, kaedah pemakanan sihat dan boleh menurunkan berat badan secara sihat dan beransur-ansur serta kekal lebih lama adalah dengan makan secara seimbang.
Pemakanan seimbang yang disarankan adalah dengan mengambil karbohidrat sihat yang kaya dengan serat, indeks glisemik (GI) rendah, makan lebih sayur dan buah.
Seseorang juga perlu meninggalkan ‘makanan proses’ yang tinggi gula, tinggi asid lemak trans dan tinggi karbohidrat halus yang mempunyai indeks glisemik tinggi.
Pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kanola, minyak kelapa atau santan juga baik untuk kesihatan. Minum air mineral, kopi O dan teh O tanpa gula adalah kaedah minum secara sihat.
Secara umumnya, Harvard Medical School membuat satu gambar rajah panduan pemakanan sihat berbentuk ‘pinggan makan’ yang dipanggil ‘Healthy Eating Plate’.
Kaedah ini diikuti di Amerika Syarikat yang dipanggil ‘Choose MyPlate.gov’ dan di Malaysia dipanggil sebagai ‘Model Pinggan Sihat’.
MENURUNKAN BERAT BADAN HANYA DENGAN BERSENAM
Senaman penting untuk menurunkan berat badan, tetapi bergantung kepada senaman semata-mata tanpa mengawal pemakanan adalah usaha sia-sia. Kajian mendapati seseorang yang hanya bersenam tanpa mengawal jumlah makanan dan kalori makanan menyebabkan berat badan susah turun, malah bertambah.
Ini kerana ramai mengira kalori yang dibakar apabila bersenam dan menyangka dengan kalori yang dibakar, tidak perlu mengawal jumlah makanan yang diambil. Jika ingin menurunkan berat badan secara maksimum, jumlah pemakanan seharian masih perlu dikawal walaupun anda bersenam.
MEMILIH PRODUK ‘RENDAH LEMAK’
Kita selalu memilih makanan atau produk yang dilabel sebagai ‘rendah lemak’ dan merasakan ia baik untuk kesihatan dan boleh membantu menurunkan berat badan.
Hakikatnya, produk itu sebenarnya mempunyai nilai kalori tinggi kerana kandungan gulanya sangat tinggi. Pengeluar produk ini mengurangkan lemak dalam produk mereka tetapi menambah kandungan gula untuk membuatkan produk ini lebih sedap. Kajian sains mendapati lemak mono tak tepu (kekacang, avocado, minyak zaitun) dan lemak Omega 3 dari ikan baik untuk menurunkan berat badan.
MEMILIH MINUMAN ‘DIET’
Kajian mendapati pengambilan minuman ‘diet’ menyebabkan masalah berat badan dan kencing manis walaupun kalorinya lebih rendah. Satu kajian di Texas Health Science Center di San Antonio, Amerika Syarikat mendapati seseorang yang mengambil minuman ‘diet’ menghadapi sehingga 70 peratus peningkatan saiz pinggang daripada seseorang yang mengambil minuman biasa. Kajian sebelumnya juga mendapati, risiko obesiti bertambah sehingga 41 peratus untuk penggemar minuman ‘diet’.
Menurut pakar pemakanan, fenomena ini berlaku kerana pemanis tiruan aspartame yang rendah kalori dalam minuman ‘diet’ meningkatkan selera makan dan menghalang otak mendapat ‘isyarat kenyang’ apabila perut penuh. Minuman terbaik untuk menurunkan berat badan ialah air mineral.
Jika anda gagal dalam percubaan pertama untuk menurunkan berat badan, jangan terlalu cepat mengalah. Kajian mendapati seseorang yang hanya cuba menurunkan berat badan mendapat faedah kesihatan walaupun gagal menurunkan walau sedikit pun.
Jadikan matlamat untuk mendapat kesihatan baik sebagai sebab utama menurunkan berat badan kerana kesihatan baik akan terpancar sebagai kecantikan sebenar.
Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI