KEBANYAKAN ORANG MEMBERIKAN PENJAGAAN YANG BERAT SEBELAH KEPADA KULIT IAITU ORGAN PERLINDUNGAN TERBESAR BAGI KITA. KECANTIKAN SESEORANG TIDAK TERTUMPU KEPADA KULIT WAJAH YANG MULUS SAJA, TETAPI KESIHATAN KULIT BADAN SECARA KESELURUHAN TERMASUKLAH DI KAKI.
RAMAI SANGGUP BERHABIS MEMBELI SET PENJAGAAN KULIT MUKA. TETAPI TAHUKAH ANDA SEBENARNYA KULIT KITA SECARA UMUMNYA MEMERLUKAN LIMA PERKARA UNTUK KEKAL SIHAT DAN CANTIK.
1. ANTIOKSIDAN
Kegunaan antioksidan dalam mengekalkan kesihatan kardiovaskular (jantung) dan pencegahan kanser sudah lama diketahui. Ia ditemui dalam banyak makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, makanan laut dan minyak. Antioksidan melawan kesan radikal bebas yang memusnahkan molekul dan akhirnya merosakkan sel yang sihat. Antioksidan bukan saja bagus untuk kulit bahkan ia memberi manfaat kepada setiap sel di dalam badan.
Ada banyak jenis antioksidan yang berguna kepada kulit, tetapi dua yang mendapat perhatian meluas ialah vitamin C dan E. Vitamin C membantu membina kolagen supaya kulit jadi tegang. Ia banyak di dalam bijirin penuh, epal dan buah-buahan sitrus. Manakala vitamin E pula melindungi membran sel dan merangsang nutrien asas pada kulit untuk melawan kerosakan disebabkan sinaran ultra lembayung.
2.PERLINDUNGAN DARIPADA CAHAYA MATAHARI
Ads
Apabila menggunakan krim pelindung suria, kita bukan sahaja melindungi diri daripada penyakit seperti kanser kulit malah mencegah daripada tanda penuaan sebelum waktunya akibat pendedahan berlebihan kepada cahaya matahari.
Kulit yang terdedah kepada cahaya matahari akan menjadi gelap, cepat berkedut dan kurang elastik berbanding bahagian kulit yang terlindung daripada selaran sinar ultra lembayung.
Kita boleh melindungi kulit dengan menyapukan krim pelindung suria (yang mempunyai SPF melebihi 15 dan perlu disapu 20 minit sebelum keluar rumah) atau memakai baju lengan panjang, topi atau payung.
3.ASID LEMAK ASAS (EFA)
Ads
Asid lemak asas adalah komponen penting dalam diet sihat. Ia membantu membina membran sel untuk mengekalkan kandungan air dan nutrien dalam badan. Asid lemak ini juga membentuk lapisan minyak yang melindungi kulit daripada kerosakan akibat kesan sinar ultra lembayung dan pencemaran.
Tanpa asid lemak asas ini, membran sel pada kulit tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai pelindung dengan baik. Akibatnya kulit akan mengalami kekurangan air dan mudah menghasilkan sebum yang tidak dikehendaki, akhirnya menyebabkan kulit kering, mudah alami keradangan dan noda.
Sumber asid lemak asas ialah ikan air sejuk seperti salmon dan sardin, minyak kesumba (safflower) dan falxseed, kacang buncis, walnut dan bayam. Anda boleh mengambil makanan tambahan omega-3 untuk memperbaiki kesihatan kulit.
Ads
4.AIR
Dianggarkan 55 hingga 75 peratus daripada badan manusia terdiri daripada air. Air menyingkirkan toksin daripada badan, membolehkan sel menyerap nutrien dan melancarkan sistem pencernaan. Mungkin ramai tidak sedar badan kita kehilangan air setiap masa melalui pernafasan dan perpeluhan. Jadi untuk memastikan sistem badan berjalan lancar, kita perlu minum banyak air setiap hari.
Kulit juga memerlukan air untuk membuang semua bahan yang boleh mencemarkan kesihatannya dan boleh menyebabkan masalah seperti jerawat. Kulit yang cukup air kelihatan segar, licin dan sihat.
5.PEMBERSIHAN
Inilah adalah perkara asas dalam rutin penjagaan kulit. Ia bukan saja menghilangkan kekotoran, pencemaran dan minyak yang membuatkan pori tersumbat, tetapi turut menyediakan kulit menyerap dengan baik bahan aktif daripada produk penjagaan yang kita gunakan.
Bukan semua pencuci adalah sama, sebaiknya carilah pencuci yang bebas sabun. Sabun yang anda gunakan untuk kulit badan tidak sesuai untuk membersihkan kulit muka kerana ia terlalu `kuat’. Pilih pencuci yang sesuai dengan keadaan kulit anda. Apapun jenis pembersih yang anda gunakan, urutkan ia pada muka selama 20 saat supaya ia berpeluang melakukan tugasnya membersihkan wajah anda.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Dalam tempoh beberapa hari ini masyarakat global heboh membicarakan tentang mutasi terbaru virus COVID-19 yang dikatakan penularan lebih cepat dan meluas dari United Kingdom (UK).
Ia dapat disaksikan dengan beberapa negara Eropah terutamanya yang berjiran dengan UK mengetatkan pergerakan di sempadan.
Namun sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima sebarang laporan penularan varian baharu virus tersebut di negara kita.
Mengulas perkara tersebut, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Adham berkata sekiranya terdapat laporan berkaitan virus tersebut, jujukan genom akan dilakukan bagi mengenal pasti kehadiran varian selain menganbil tindakan pencegahan perebakannya.
Memetik laporan BERNAMA, beliau juga menegaskan bahawa Malaysia masih belum buka sempadan negara sepenuhnya kerana bimbang kes COVID-19 dari luar negara seperti ini berlaku.
“Setakat ini, beberapa negara seperti Arab Saudi dan Jerman telah menggantung penerbangan dari United Kingdom disebabkan varian baharu virus itu.
“Dulu, Malaysia pernah berdepan dengan Kluster Sivagangga yang mana mutasi jenis D614G itu menyebabkan COVID-19 lebih mudah berjangkit … sebab itu, kawalan sempadan negara sangat penting ketika ini,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
TAHAP JANGKITAN LEBIH TINGGI
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata varian baharu itu atau nama saintifiknya VUI 202012/01 didapati mempunyai tahap jangkitan lebih tinggi iaitu sebanyak 20 peratus.
Sementara itu, Dr Adham memuji tindakan pantas serta kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan petugas barisan hadapan negeri itu dalam mengasing dan merawat individu dikesan positif COVID-19 serta kontak rapat pesakit.
“Tindakan itu sangat berkesan dalam mengawal COVID-19 di Terengganu dan tahap pematuhan penduduk juga sangat baik. Program Pengurangan Risiko Daerah (DRCP) yang dijalankan juga terbukti berjaya memastikan tiada zon merah COVID-19 di Terengganu setakat ini.
“Program COMBI (Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku) dan Kospen (Komuniti Sihat Perkasa Negara) juga digerakkan untuk mendidik komuniti agar terus mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan COVID-19 secara berterusan,” katanya.
Semoga barisan hadapan negara terus tabah dan kuat untuk mengharungi cabaran yang saban hari masih tiada petunjuk akan berakhir. Namun berita kemunculan vaksin yang bakal negara perolehi pada Februari tahun hadapan mampu memberikan sedikit sinar dan kelegaan buat kita semua.
Walaupun usia 15 tahun masih dikategorikan sebagai bawah umur, namun remaja seusia itu sepatutnya sudah tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, demikian pendapat Dr Shazril Shaharudin mengulas isu remaja yang menggunakan steroid untuk membina badan seawal usia tersebut.
“Saya form three (15 tahun), saya rasa saya dah boleh buat decision lah. Kita tahu yang mana yang baik dan buruk,” kata Dr Shazril atau lebih dikenali sebagai Dr Say ketika ditemui MASKULIN selepas berlangsungnya Nivea Luminous630 Celebration Night di ibu negara minggu lalu.
“Jadi disitu sebenarnya kita boleh tanya sekeliling, tanya yang lebih arif. Tanya yang lebih dewasa, baik atau buruk ambil perkara ini, benda itu,” katanya lagi.
Maka, Dr Say berpendapat usia tidak sepatutnya dijadikan alasan atas sesuatu kesilapan yang berlaku akibat tidak bersiap sedia dengan ilmu yang cukup.
“Tidak dinafikan sekarang ni it’s all about looks and appearance. Saya rasa kalau tanya budak-budak sekarang, mestilah ramai nak jadi influencer, content creator, nak jadi di hadapan kamera, nak look good.
“Tapi belajarlah sebelum kita ambil apa jua barang. Tak kisahlah protein ke, supplement ke. Tanyalah yang lebih dewasa, yang lebih arif, tanya doktor,” tambahnya.
No Demand, No Supply
Dr Say yang juga pernah bergiat aktif dalam pertandingan bina badan beberapa tahun lalu turut berpendapat yang penjualan bahan-bahan terlarang juga wujud disebabkan masih ada permintaan dikalangan individu di bidang berkenaan
“Bagi saya, when there is no demand, there is no supply… Kalau kita tak meminta untuk benda itu, takkan ada penjualannya,” ujar Dr Say.
“Jadi tak boleh nak salahkan semata-mata penjual itu. Kita sebagai pengguna sendiri perlu cerdik menilai apakah side effect semua ni, apakah yang akan berlaku pada tubuh badan kita sekiranya kita ambil.”
“Do it the natural way, ia akan memakan masa. Buat badan ni akan memakan masa, but enjoy the process sebab kita nak guna badan kita lama. Jadi sayangilah kesihatan kita, sayangilah badan kita.”
Terdahulu, tular di laman Tiktok seorang remaja berusia 15 tahun berkongsi beberapa keping gambar menunjukkan yang dia telah mula mengambil steroid untuk membina otot badan.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai termasuklah Hazim Sazali yang juga merupakan anak kepada jaguh bina badan negara Sazali Samad.
Bagaimanapun, hantaran itu telah pun dipadam oleh remaja berkenaan susulan kecaman netizen yang diterimanya.
Tak salah untuk berdiet malah perkara ini juga boleh meningkatkan kesihatan badan dan buat korang kembali kacak. Tapi yang membimbangkan ialah apabila korang berdiet sesuka hati.
Awas ya! Dalam mencapai usaha untuk kurus ramai tidak tahu kesan diet mungkin merosakkan kesihatan tanpa kita sedari. Jadikan pedoman di bawah ini sebagai peringatan supaya berwaspada ketika berdiet.
Ini perkongsian dari Dr. Hafiz Sulaiman berkenaan perkara ini:
1) MENINGKATKAN STRES DALAMAN.
Kaedah yang menyebabkan badan stres ialah menghadkan makan sampai ada yang limit kalori bawah 1000kcal berminggu-minggu. Contoh diet yang pernah saya cuba amalkan seketika dulu, HCG diet. Diet tu tak salah, badan kita boleh adaptasi dengan kalori rendah (kebanyakan orang). Silapnya ada pengamal tak ikut protokol betul-betul. Badan akan jadi terbeban kerana peningkatan radikal bebas (peroxyl radical). Ini kerana badan kekurangan gula dan mula pecahkan lemak untuk tenaga (ketosis). Stres dalaman (radikal bebas) berpotensi merosakkan organ dalaman.
SOLUSI : Perbanyakkan makanan tinggi antioksida dan antiradang bagi mengurangkan keradangan dan stres dalaman. Jika perlu, ambil suplemen tambahan.
2) MENYEBABKAN KEKURANGAN ZAT.
Diet dengan kalori sangat rendah WAJIB PADAT NUTRISI. Bukan diet dengan biskut dan roti sekeping dua yang sangat rendah nilai nutrisi.
Bila kurang makan, bebanan stres dalaman meningkat dan badan memerlukan lebih banyak nutrien untuk adaptasi dengan stres yang meningkat. Zat seperti protein diperlukan untuk membaiki kerosakan akibat stres yang meningkat. Antioksida luaran melalui pemakanan diperlukan untuk menyokong antioksida badan mengurangkan kerosakan disebabkan radikal bebas yang meningkat. Banyak zat dan mineral penting perlu untuk menyokong detoksifikasi di organ hati terutamanya fasa1.
SOLUSI: Pelbagaikan makanan yang semulajadi. Fokus kepada makanan padat nutrisi. Suplemen dengan multivitamin jika perlu.
.
3) MENYEBABKAN BERAT SUSAH TURUN.
Stres dalaman yang tidak terkawal akibat menghadkan kalori boleh meningkatkan stres dalaman. Hormon stres iaitu kortisol akan meningkat dan badan akan mula menyimpan lemak dan air. Berat badan akan susah turun (plateau).
SOLUSI: Kurangkan stres dalaman. Jika tidak berjaya, kemungkinan kalori perlu dihadkan secara beransur.
.
4) RISIKO KEINGINAN MAKAN MEMUNCAK (CRAVING).
Hormon stres iaitu kortisol juga menyebabkan kita merasa “craving”. Selain daripada itu, hormon yang meningkatkan keinginan makan iaitu GHRELIN juga meningkat ketika stres.
SOLUSI: Kurangkan stres dalaman. Oleh kerana jika penghadan kalori sudah tentu meningkatkan stres dalaman, elakkan stres boleh cegah lain seperti jaga kitaran tidur, stres daripada toksin persekitaran dan stres daripada emosi toksik.
Kesimpulannya jika ingin berdiet terutamanya dengan menghadkan kalori, sebaiknya buat pemeriksaan kesihatan dahulu. Pemeriksaan darah penting terutamanya bagi mereka yang berumur lebih 30 tahun bagi memastikan organ badan sihat dan mampu berfungsi dengan baik ketika berdiet. Kurangkan bebanan toksin dan stres dalaman berlebihan.
Semoga perjalanan ke arah kurus yang lebih sihat menjadi lebih mudah insha Allah 🙂
Pemuda 26 tahun alami strok selepas urut leher. Seorang pemuda berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengatur cara dari Changsha, Hunan, China nyaris mengalami kelumpuhan kekal atau strok selepas menjalani sesi urutan leher yang berintensiti tinggi.