Kadangkala, kita impikan berbagai-bagai kelebihan dan kehebatan yang ada pada sebuah kereta, tetapi adalah lebih baik jika kita fikirkan sesuatu yang lebih praktikal berdasarkan keperluan kita – bukan sahaja untuk jangka masa singkat, tetapi untuk jangka masa panjang dan untuk tahun-tahun yang mendatang.
Ini amat penting kerana ia membolehkan anda mengagak nilai sesebuah kereta itu pada masa hadapan. Jika anda membeli kereta yang mempunyai nilai susutan yang tinggi, anda akan mengalami kerugian dalam beberapa tahun apabila kereta anda itu hendak dijual.
Mari kami kongsikan antara 5 model kereta di Malaysia yang mempunyai nilai susutan terendah.
1. Perodua Myvi
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 65%
Seperti yang dijangkakan untuk berada di tangga pertama carta ini, adalah kereta yang dianggarkan paling banyak di atas muka bumi Malaysia, iaitu Perodua Myvi. Ia dikatakan model keluaran Malaysia paling berjaya dan dianggarkan sebanyak 500,000 buah Perodua Myvi berada di atas jalan raya sejak ia diperkenalkan pada tahun 2005. Kenyataan ini boleh dibuktikan dengan melihat di persekitaran anda, pasti akan terlihat model ini.
Ia menjadi pilihan kerana reka bentuk yang comel dan futuristik, ruang dalaman yang agak luas, serta harga mampu milik yang menjadi pilihan mereka yang berpendapatan sederhana. Ia dijual dengan harga purata RM45,000 pada tahun 2013 dan kini dengan reka bentuknya yang tak luput dek zaman, harganya menurun menjadi RM29,000 bagi Myvi berenjin 1.3 liter, mengikut keadaan kereta.
2. Toyota Vios
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 62% – 65%
Dikatakan sebagai musuh tradisi Honda City, model kereta ini juga antara yang terbanyak digunakan oleh rakyat Malaysia. Dengan rekabentuk unik serta ketahanan Toyota Vios membuatkan ia menjadi pilihan semua bangsa dan lapisan masyarakat di Malaysia. Dijual dengan harga tidak kurang seperti Honda City iaitu anggaran RM85,000 pada tahun 2013, kini ia boleh didapati dengan harga RM54,000.
3. Nissan Grand Livina
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 60%
Ketika dilancarkan pada tahun 2007 di Malaysia, kereta MPV ini mendapat perhatian ramai kerana dikatakan sesuai dijadikan kereta keluarga dengan harga yang berpatutan. Mempunyai 5 tempat duduk dewasa dan 2 untuk kanak-kanak, ruang di dalam MPV ini agak luas dan boleh diubah suai supaya mendapat lebih ruang. Pengunaan minyak jugak tidak terlalu kuat bagi kereta bersaiz besar. Grand Livina boleh dimiliki dengan harga RM90,000 pada 2014 dan anggaran penyusutan nilainya hanya 40% membuatkan ia kini berharga dalam lingkungan RM54,000.
4. Honda City
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 55% – 58%
Model yang mempunyai rekabentuk yang sangat sporty dan futuristik daripada Honda, ia menjadi pilihan golongan muda masa kini. Honda City terkenal sebagai kereta jimat minyak dan berbaloi untuk dimiliki. Pada tahun 2013, Honda City boleh dimiliki dengan harga anggaran RM85,000 dan kini, kereta yang sama boleh dibeli dengan harga anggaran RM47,600.
5. Proton Persona
Anggaran nilai selepas 5 tahun : 45%-47%
Proton Persona berada di tangga ke-5 senarai ini. Ia merupakan antara salah satu model keluaran Malaysia yang sangat banyak di atas jalan raya. Proton Persona menjadi tarikan ramai kerana bentuk badannya yang padat dan ruangan dalam yang agak luas. Model ini boleh didapati dengan harga RM45,000 pada tahun 2012 dan harga Proton Persona terpakai kini boleh didapati dengan harga RM21,000.
Sumber : Illuminasi