Tidak kira apa sahaja yang kita lakukan, tidak kira sesuatu yang kecil atau besar, ia memerlukan keyakinan diri untuk membuahkan hasil. Tanpa keyakinan diri, kita tidak akan mengambil langkah pertama. Tanpa keyakinan diri, kita akan sering fikirkan kegagalan yang belum pasti. Tanpa keyakinan diri juga kita tidak akan berjaya menghasilkan sesuatu yang hebat!
1-ORANG-ORANG NEGATIF MENYEBARKAN VIRUS
Virus bukan sahaja datang dari segi penyakit, ataupun melalui virus komputer. Tetapi virus negatif yang menular di kalangan orang-orang yang berfikiran negatif. Sekiranya kita dikelilingi oleh mereka berfikiran negatif, mereka yang hanya nampak kegagalan, dan mereka yang tidak mahu mengubah diri mereka sendiri, lama-kelamaan virus tersebut akan menular masuk ke tubuh kita juga.
Maksud di sini, bukan hanya sekadar kita berasa kecewa apabila seseorang memberi satu pandangan yang negatif pada usaha kita. Tetapi, maksud saya adalah apabila kita sentiasa menerima pandangan-pandangan negatif, kritikan dan juga cemuhan dari orang sekeliling. Pada mulanya, pasti kita tidak mempercayainya dan tidak ambil endah. Tetapi lambat-laun semua perkara tersebut akan memasuki minda kita dan kita mula ragu-ragu tentang kebolehan diri sendiri.
“Eh… boleh ke aku lakukannya?” Antara soalan yang sering bermain dalam minda kita apabila virus-virus luar mula memasuki diri kita sendiri. Sehingga sampai satu tahap, bukan sekadar kita ragu-ragu tentang kebolehan diri tetapi sehingga kita sendiri YAKIN bahawa kita TIDAK BOLEH melakukannya!
Oleh itu, jauhkan diri dari mereka yang bersikap negatif. Bukan sekadar beredar tetapi LARI dan jauhi mereka! Seperti satu wabak penyakit yang akan menjangkiti minda positif anda. Bina keyakinan diri anda dengan sering bersama mereka yang berfikiran positif!
2-BERI PELUANG PADA DIRI SENDIRI UNTUK BERSABAR!
Bersabar! Kejayaan jarang sekali datang dalam waktu yang pantas. Sering kali sesuatu kegagalan akan memutuskan semangat kita. Apa sahaja kegagalan bagaikan satu petanda bahawa kita akan gagal selama-lamanya.
Ketahuilah bahawa ia adalah tidak benar. Sering kali kisah kejayaan bermula dengan kisah kegagalan. Bila gagal, mungkin kita tidak dapat apa yang kita hajati, tetapi sering kali kita akan dapat ilmu yang baru- kenapa ia gagal. Pelajari dari kegagalan oleh kerana ia merupakan guru yang paling baik- guru yang pasti kita ingat!
Beri peluang kepada diri kita untuk bersabar dan melihat dari berbagai sudut sesuatu kegagalan itu terjadi. Jangan abaikan kegagalan kerana banyak ilmu yang dapat diajar oleh guru ini. Kesabaran diperlukan supaya minda kita sentiasa dalam keadaan teratur dan sedar akan kesilapan yang telah kita lakukan hingga mengakibatkan kegagalan. Bersabar juga dalam membuka diri kita menerima kekurangan dalam diri yang mengakibatkan kegagalan. Tambahkan kesabaran dan buangkan ego dalam diri sendiri supaya ilmu yang kita pelajari dari kegagalan akan meyakinkan diri kita untuk mencapai kejayaan akan datang!
3-KENANGKAN KEJAYAAN LAMPAU
Pernahkah anda mencapai kejayaan sebelum ini? Tidak kira apa sahaja kejayaan yang signifikan kepada anda, sama ada pertandingan membaca Al-Quran ketika kecil atau perlawanan boling antara syarikat, atau mendapat anugerah apa sahaja pun, kenangkan kembali bahawa anda pernah mencapai kejayaan dalam sesuatu perkara- dan pastinya anda boleh mencapai kejayaan dalam perkara yang lain juga.
Sekiranya anda belum bingkaikan sijil-sijil pencapaian anda, saya syorkan anda lakukan sekarang dan penuhkan di dinding bilik atau pejabat anda. Sijil-sijil tersebut akan memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa kejayaan pernah dicapai dan boleh dicapai lagi.
Jadikan peristiwa kejayaan anda sebelum ini sebagai picu untuk menaikkan semangat. Kenangkannya dan rasai ‘perasaan’ yang anda miliki ketika mencapai kejayaan tersebut. Perasaan tersebut akan memanjatkan lagi semangat dan keyakinan diri kita untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa!
4-GEMBIRA DENGAN APA YANG HENDAK DILAKUKAN
Cara nombor 3 menyebut tentang pentingnya merasai “perasaan” kejayaan. Perasaan akan mempengaruhi minda kita, dan minda kita pula akan mempengaruhi tingkah laku kita. Bina keyakinan diri sendiri dengan memenuhi minda kita dengan perasaan gembira.
Perasaan gembira akan menghilangkan segala perasaan negatif dalam diri sendiri. Cuba anda ingat kembali apabila anda berada dalam keadaan gembira, adakah anda fikirkan perkara-perkara yang negatif, seperti hutang yang belum langsai, kerja yang belum siap atau tanggungjawab yang belum dilaksanakan?
Untuk membina keyakinan diri kita, lakukan sesuatu yang menggembirakan. Ini bergantung kepada individu- apa yang menggembirakan anda? Mungkin keluar bersama keluarga, pergi menonton wayang atau membeli-belah. Apa sahaja yang menggembirakan kita akan memberi kesan-kesan positif kepada diri sendiri dan dapat membina keyakinan diri kita. Apabila hati gembira, keputusan yang kita akan dapat pasti akan menggembirakan juga!