Malam ini tepat 0830 malam, Malaysia akan membuka tirai memburu tiket Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang mana skuad Harimau Malaya bimbingan Jurulatih Negara, Tan Cheng Hoe akan menentang Pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
Jika ditanya kepada peminat bola sepak tempatan, pasti akan teringat peristiwa pemain negara yang terpaksa pulang dari stadium ke hotel menaiki kereta perisai atau lebih dikenali sebagai Baracuda. Ia terjadi disebabkan banjiran penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati dengan kemenangan pasukan Harimau Malaya.
MASKULIN ingin mengimbau kembali antara insiden yang terburuk pernah menimpa pemain negara sepanjang bertandang ke Istana Garuda Indonesia.
Pasukan Harimau Muda ketika itu sedang bertarung dalam saingan Piala AFF Bawah 19 Tahun menentang Indonesia di Jawa Timur. Pemain negara telah dibaling botol serta objek keras oleh peminat Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan dalam saingan separuh akhir piala tersebut.
Ketika saingan Sukan SEA 2011 dan Indonesia menjadi tuan rumah, pasukan negara telah berjaya memenangi ibu segala pingat selepas menewaskan Indonesia melalui penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1.
Permulaan kepada insiden naik Baracuda adalah ketika Malaysia bertandang ke Geloran Bung Karno untuk aksi timbal balik dengan membawa bekalan sebanyak tiga gol ke Indonesia dan sekaligus memenangi perlawanan tersebut dengan pungutan empat gol berbalas 2.
Diharapkan perlawanan pada malam ini berlangsung dengan aman walaupun sudah kedengaran khabar yang tidak menyeronokkan dari bumi Jakarta, Indonesia.