Membeli kereta terpakai bukanlah seteruk yang orang sangka. Selain harganya lebih murah ia juga memberikan opsyen yang banyak kepada anda untuk memiliki kereta sendiri.
Namun sebelum membeli kereta terpakai ada beberapa perkara penting yang harus anda berikan perhatian.
PASTIKAN BAJET
Antara tujuan utama anda beli kereta terpakai semestinya sebab ia lebih murah, bukan? Jadi perkara pertama anda perlu lakukan ialah tetapkan bajet sendiri dahulu. Sebagai contoh kalau bajet anda hanyalah kereta Myvi terpakai janganlah pula senaraikan BMW sebagai opsyen lain.
BUAT KIRAAN PINJAMAN
Besar kemungkinan anda akan melakukan pinjaman bank untuk membeli kereta. Jadi amatlah penting anda tahu untuk mengira apakah bayaran bulanan yang perlu dibayar. Sebagai contoh ambil harga kereta, harga deposit, kadar faedah dan tempoh pinjaman. Anda boleh buat kiraan ini di laman sesawang www.cars.com. KLIK SINI.
SURVEY ONLINE
Ads
Untuk mengetahui berapakah paras harga semasa kereta terpakai yang ingin dibeli anda boleh melakukan tinjauan secara online. Laman sesawang seperti MotorTrader, Carlist atau Mudah boleh beri gambaran tentang range harganya. Dan perlu anda ingat untuk tak melakukan survey pertama di kedai kereta terpakai. Risau nanti anda ‘terpukau’ dengan kata-kata manis jurujual.
PILIH 5 TAHUN KE BAWAH
Ini adalah untuk opsyen yang lebih selamat. Maksudnya di sini kereta tersebut berusia tidak lebih lima tahun sejak ia mula digunakan. Mungkin ada banyak kereta 5 tahun ke atas masih dalam kondisi baik tetapi cara ini secara tak langsung kurangkan risiko anda berdepan kerosakan lain di masa akan datang.
WASPADA JIKA TERLALU MURAH
Bila dapati ada kereta idaman yang ditawarkan untuk dijual pastinya anda akan berasa sangat teruja. Namun jangan tergopoh-gapah terlebih dahulu. Jika terlalu murah pasti ada yang tak kena. Sudah banyak kes menunjukkan kereta yang dijual terlalu murah pernah kemalangan teruk atau bertukar pemilik 3 atau 4 orang. Atau mungkin juga mileage yang sangat tinggi.
INTERAKSI DENGAN PEMILIK SEBENAR
Salah satu kelebihan melakukan tinjauan kereta secara online ialah anda boleh berinteraksi secara terus dengan pemiliknya. Ini kerana mereka akan jawab segala pertanyaan anda. Selain itu anda juga boleh melakukan ‘nego’ dengan lebih baik.
Jika anda bertemu dengan pemiliknya, mintalah buku jadual servis. Menerusi buku tersebut anda boleh lihat bagaimana ia diselenggara sepanjang kereta tersebut digunakan sebelum ini.
PERIKSA LUAR & DALAM
Walaupun anda membeli kereta terpakai seelok-eloknya periksalah kondisi luaran dan dalamannya. Jika ada perkara perlu diperbaiki anda boleh minta pemiliknya memperbaikinya dahulu. Ataupun anda boleh minta pengurangan harga berdasarkan kerosakan itu.
PERIKSA KELENGKAPAN & PERALATAN
Ads
Sila pastikan segala kelengkapan dan peralatan berfungsi dengan baik seperti:
Lampu tinggi dan rendah, signal, kabus, lampu kabin (di siling) dan amaran (hazard light)
Penyaman udara
Hon
Radio dan pemain cakera padat (CD)
Hendal pintu dan glove-box (laci dashboard)
Tuil atau penetap cermin sisi
Suis tingkap kuasa
Soket 2.4V / palam pencucuh rokok
Tuil tangki minyak, bonet dan but
Pelaras kerusi dan tali pinggang keledar
Tayar simpanan dan kotak alatan (tools box)
PERIKSA ENJIN
Ada 2 peringkat perlu diperiksa.
Peringkat 1:
Tiada kesan minyak bocor
Tiada kabel sambungan elektrik reput atau terputus
Tiada komponen material getah yang tertanggal, melecur, melepuh, haus dan rosak
Tiada bahanasing dalam radiator. Buka penutup dan lihat air radiator sama ada keruh atau jernih.
Tiada bahanasing dalam minyak enjin. Tarik indikator minyak enjin dan lihat rupa minyak (cair, pekat, ada serbuk besi, dan lain-lain).
Peringkat 2, hidupkan enjin dan pastikan:
Semua indikator pada panel meter menyala dan terpadam (seperti beg udara, suhu, enjin, ABS, dan lain-lain).
Lihat asap yang keluar daripada ekzos. Jika keluar sedikit percikan air dan asap tidak berwarna atau biru sedikit itu bermakna enjin kereta dalam keadaan sihat.
Tekan minyak pada 3,000rpm, 4,000rpm dan 5,000rpm. Setiap tahap dibuat secara ligatan (rev) enjin, iaitu tekan hingga mencapai tahap rpm diperlukan dan terus lepaskan pedal minyak. Meter rpm untuk enjin yang baik akan turun sekata bersama deruman lancar (tidak tersekat atau terbatuk).
PANDU UJI
Tidak kira sama ada anda berunding dengan pemilik terus atau penjual kereta terpakai, anda sebenarnya ada hak untuk meminta dibenarkan memandu uji kereta yang mahu dibeli. Memandu uji di sini bukanlah setakat menghidupkan enjin dan menekan pedal minyak. Kereta pilihan anda itu mesti bergerak. Pada tahap ini telinga anda memain peranan penting, termasuk deria lain. Apa yang anda perlu lakukan ialah:
Cuba membrek secara perlahan dan kecemasan. Dengar jika ada sebarang bunyi aneh keluar.
Cari selekoh dan belok. Dengar jika ada keluar bunyi ketika memusing stereng.
Redah kawasan tidak rata. Sama juga, dengar jika ada sebarang bunyi aneh di bahagian tayar atau dalam kabin.
Pandu dalam pelbagai halaju (60-110kmj). Pasang telinga dan rasai jika ada bunyi angin, gegaran enjin atau stereng, dan sistem suspensi.
Gerakkan setiap takah gear. Jika manual, pastikan setiap takah gear (1-5/6) dapat ditukar lancar. Jika Auto, pandu kereta dalam tetapan D4, D3 atau D2, termasuk R. Pastikan setiap takah gear dapat ditolak atau ditarik masuk dengan lancar dan tidak tersekat atau tersentap.
Sumber: Pandulaju
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Sebenarnya masalah atau simptom ‘microsleep’ bukanlah satu perkara baharu. Saban tahun kita dapat membaca berita kemalangan jalan raya yang ngeri disebabkan pemandu terlelap dalam masa beberapa saat atau dikenali sebagai microsleep.
Dan ketahuilah juga bahawa masalah ini bukan sahaja berlaku kepada pemandu kenderaan empat roda tetapi juga boleh berlaku kepada penunggang motosikal.
Menerusi sebuah video yang telah tular beberapa hari lalu seorang penunggang motosikal dipercayai tertidur atau microsleep lalu nyaris digilis sebuah lori tangki di sebelahnya.
Video tersebut mendapat reaksi warganet yang cukup ngeri dengan kemalangan tersebut. Kejadian microsleep boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Dan ia mungkin lebih kerap berlaku pada bulan puasa kerana keletihan.
Tapi adakah anda tahu apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sindrom microsleep?
MAKSUD MICROSLEEP
Microsleep merupakan kondisi yang sangat berbahaya dan telah meragut banyak nyawa di jalan raya. Malah ia kini dikenali pasti sebagai antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya.
Jadi apakah penyebab utama microsleep?
Punca utama ia berlaku ialah disebabkan badan berasa penat dan berlaku terutamanya bila kurang tidur. Ia juga berlaku dalam situasi bila seseorang berdepan dengan perkara yang dilakukan secara berterusan seperti memandu atau menonton TV. Lebih mengantuk anda maka rasa lebih tinggi berdepan risiko sindrom microsleep.
Dan microsleep ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada mereka yang rasa tubuh badan sihat.
Jadi bagaimanakah anda sebagai pemandu boleh mengelak daripada berdepan risiko bahaya microsleep?
MASKULIN ingin kongsi beberapa tip mudah yang boleh anda amalkan bagi mengelak jadi mangsa kemalangan akibat microsleep.
Pilih waktu sesuai
Pertama sekali, elak elak memandu ketika anda rasa diri kurang aktif atau peka. Sebaiknya mulakanlah perjalanan ketika badan berasa paling segar yang maksima.
Tidur yang cukup
Rancang perjalanan dengan baik mengikut waktu tidur. Ingatlah tidur yang mencukupi dapat memberikan kondisi fizikal yang lebih peka dengan sekeliling.
Bawa teman
Jika memandu jarak jauh carilah teman sekurang-kurangnya seorang. Memandu seorang diri dalam perjalanan jauh cukup membosankan.
Sentiasa fokus
Semasa memandu sentiasalah ingat untuk fokus pada jalan raya dan juga kenderaan lain. Jika kita sentiasa beringat InsyaAllah perjalanan akan bertambah selamat.
Berinteraksi
Jika balik bersama ahli keluarga atau kawan-kawan berinteraksilah dengan mereka dari semasa ke semasa. Jangan biarkan kesemua penumpang tidur dalam satu masa.
Sentiasa bergerak
Apabila berhenti di R&R, ambil masa 5 hingga 10 minit untuk regangkan badan, berjalan dan basuh muka untuk badan yang lebih segar. Pengaliran arah yang baik boleh memberikan keselesaan bukan sahaja kepada fizikal tetapi mental.
Tempoh berhenti
Bagi perjalanan yang lebih efisien berhentilah setiap 2 atau 3 jam perjalanan. Jangan paksa diri untuk memandu terlalu lama.
Guna Aplikasi
Sekarang terdapat beberapa jenis apps anti-tidur yang terdapat di pasaran. Gunakan apps ini untuk membantu korang daripada tertidur semasa memandu. Ia akan berbunyi dan bergegar selang beberapa minit megikut tetapan.
Semoga perkongsian ini memberikan manfaat yang baik untuk anda. Terutamanya buat anda yang merancang untuk melakukan perjalanan jauh dan balik kampung dalam masa yang terdekat. Berhati-hati di jalan raya!
Pengenalan teknologi baharu di dalam kenderaan kini semakin lama semakin maju. Sesetengah teknologi baharu bila diperkenalkan ia mungkin agak janggal namun lama kelamaan akan jadi perkara normal.
Sebagai contohnya teknologi push start button pada kereta. Jika suatu ketika dulu kita perlu masukkan kunci dan pula untuk hidupkan enjin kini hanya perlu tekan butang push start sahaja.
Namun biasalah dalam mana-mana pengenalan teknologi pasti timbul pula sesetengah kepercayaan atau amalan yang tidak betul. Ini adalah satu perkara dalam dunia automotif. Memang banyak mitos yang berlegar dan masih menjadi kepercayaan ramai.
Dalam perihal butang push start, sebelum ini timbul perkongsiaan kononnya cara betul untuk guna butang push start adalah lebih sekali. Cara itu mengajar untuk tekan butang itu sekali tanpa menekan brek. Kemudian katanya perlu tunggu lampu simbol akeseori padan sebelum tekan brek dan hidupkan enjin.
TEORI SEMATA
Mereka yang mengamalkan cara ini mendakwa tidak mahu sistem elektrikal kereta jadi rosak dan jejaskan prestasi kereta. Tapi sejauh manakah dakwaan itu benar?
Pertama sekali cuba anda baca manual kereta yang disediakan oleh pengeluar. Boleh dikatakan semua tidak pernah mengajar atau memberikan panduan sebegitu rupa.
Malah jika anda baca atau ikuti mana-mana forum, laman sesawang atau pemandu berpengalaman mereka tidak melakukan cara seperti itu. Nak hidupkan enjin hanya perlu tekan brek dan tekan sahaja butang push start.
Kereta zaman sekarang tidak ada istilah enjin terkejut atau sistem terkejut. Sistem komputer enjin kereta yang direka berfungsi memberikan respon dengan laju.
Lagipun, kereta moden sudah dilengkapi dengan fungsi keselamatan untuk memastikan enjin boleh dihidupkan dengan cepat dan dalam keadaan yang optimum. Tak perlu nak tunggu lampu ‘check engine’ untuk padam sebelum kereta dihidupkan.
Kemudian timbul pula dakwaan bahawa pengeluar sengaja tidak memberitahu cara seperti mereka amalkan kerana ia boleh merugikan pihak yang menjual komponen gantian atau sparepart.
Namun itu hanyalah dakwaan atau teori konspirasi semata. Ramai tidak sedar berapa ramai jurutera dan juruteknik kawalan kualiti yang telah mencurahkan keringat mereka untuk memastikan kereta yang dipasarkan boleh digunakan dengan baik.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Selepas pengumuman pembelian pegangan saham Proton Holdings Berhad (Proton) sebanyak 49.9 peratus oleh pihak Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), pelbagai reaksi dilontarkan oleh netizen. Ada yang menyambut baik dan tidak kurang bersikap skeptikal.
Diharapkan rakan strategik asing (FSR) Proton yang baru ini akan bersama-sama memacu pasaran automotif tempatan. Pada masa sama, pihak Proton boleh memanfaatkan kelebihan yang ada pada Geely.
Sebelum kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Muktamad Julai hadapan, marilah sama-sama kita melihat kembali era Proton yang punya nilai sentimental kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
ERA 1 : TAHUN PRA-PROTON
Semuanya bermula pada 1979, Bapa Pemodenan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan idea untuk membangunkan industri pemasangan dan pengeluaran automotif di Malaysia.
Tun Mahathir memasang impian untuk mempercepatkan keupayaan perindustrian Malaysia agar seiring dengan negara-negara maju. Impian Tun semakin hampir kepada realiti apabila Kabinet meluluskan Projek Kereta Nasional pada 1982.
ERA 2 : PERBADANAN
Impian Malaysia mempunyai jenama kereta nasional menjadi kenyataan apabila Proton rasmi ditubuhkan pada 7 Mei 1983.
Kemudian lahirlah Proton Saga pada 9 Julai 1985 yang menjadi model pertama Proton dan kebanggaan rakyat Malaysia.
Ismail Jaafar, pesara tentera merupakan insan yang mencipta nama model pertama Proton tersebut. Saga diambil daripada nama benih pokok Saga yang biasa ditemui di Malaysia. Pasaran baru Proton Saga ialah Singapura pada ketika itu.
ERA 3: MENGUKUHKAN ASAS PROTON
Pada 1986, Proton meraikan pengeluaran ke 10,000 kenderaannya (setahun selepas Proton Saga dilancarkan). Kemudian, Proton melancarkan model sedan Proton Saga 1.5 liter dan model Aeroback.
Selepas itu, lebih daripada 50, 000 unit Proton Saga diproduksi dan dijual di Bangladesh, Brunei, New Zealand, Malta dan Sri Lanka. Tidak lama kemudian, Proton diedarkan ke United Kingdom.
ERA 4: KAPASITI PEMBANGUNAN
Pada 1988, Proton menyertai British International Motorshow dan membawa pulang tiga anugerah iaitu kategori kualiti, ergonomik dan coachwork.
Proton terus melangkah ke hadapan apabila mencapai 1 juta pengeluaran pada 1996. Angka tersebut dibantu dengan beberapa pelancaran model signifikan antaranya Tiara, Wira 2.0 diesel dan model dua pintu Putra. Tidak ketinggalan model sedia ada Wira, Satria dan Perdana. Pada tahun yang sama juga Proton membeli pegangan saham Lotus.
ERA 5: KEMASKINI TEKNOLOGI
Proton mula memperkenalkan enjin prototaip CamPro di kilang Lotus di Norwich, United Kingdom. Enjin CamPro dibangunkan bagi menunjukkan keupayaan Proton menghasilkan enjin dengan kuasa lebih baik dan memenuhi standard emisi.
Kereta sedan Gen 2 merupakan model pertama yang menggunakan enjin CamPro pada 2004. Empat tahun selepas itu, varian enjin Campro mula diperkenalkan- CPS dan IAFM. Enjin CPS digunakan pada model Waja dan Gen 2 Facelift sementara enjin IAFM pada model Proton Saga.
ERA 6: PENAMBAHBAIKAN PEMASARAN
Pada 2008, Proton memperkenalkan logo baru sempena pengeluaran tiga juta kenderaannya. Saga baharu adalah model pertama yang menggunakan logo hitam dan krom.
Pada 2009, Proton Edar Sdn Bhd dan Edaran Otomobil Nasional Berhad melakukan Perjanjian Jualan Master bagi merasionalisasikan semula rangkaian jualan dan servis Proton. Ini bagi memastikan pengagihan lebih efisien.
ERA 7: PEMBANGUNAN PERIBADI PROTON
Proton mengukuhkan lagi kejayaan dengan pengenalan MPV pertamanya – Exora pada 2009. Exora diterima secara meluas di Malaysia dan juga Thailand. Model tersebut diiktiraf dalam ‘Senarai 10 Kereta Terbaik di Thailand” oleh akhbar Bangkok Post.
Proton mula membangunkan kenderaan elektrik dan hibrid. Pada 2010, Proton mengambil bahagian dalam Royal Automobile Club Brighton dengan mempertaruhkan Saga EV dan Exora REEV. Proton mencapai kejayaan apabila Exora REEV dianugerahkan kereta REEV terbaik.
Proton memperkenalkan varian enjin turbo CamPro. Enjin 1.6 liter Campro CFE itu mula diperkenalkan pada Exora Bold dan Exora Prime. Dengan keazaman untuk menguasai pasaran antarabangsa, Proton memperkenalkan Preve yang digelar sebagai kereta global pertama Proton pada 2012. Pada Februari 2013, Preve melakar sejarah pertama apabila mencapai 5 bintang dalam penilaian ANCAP Australia.
ERA 8: PENSWASTAAN
Pada 2012 merupakan era baru buat Proton apabila berada di bawah konglomerat DRB-Hicom Berhad. Beberapa bulan selepas pelancaran rasmi Preve pada April 2012, Preve dilancarkan ke Australia, Thailand dan Brunei.
Kumpulan Lotus kemudian melancarkan flagship Lotus di Regent Street London dan memperkenalkan model Exige S baru pada Julai 2012. Di Kuala Lumpur, Lotus Cars Malaysia membuka flagship pertama di Sungai Penchala, Damansara dan memperkenalkan dua kereta baru untuk pelanggan Malaysia – Exige S dan Elise S.
Hujung 2012, Proton memperoleh semua teknologi enjin dan pengetahuan yang dibangunkan oleh Petronas sejak 1997. Dengan pengambilalihan itu, Proton memiliki barisan enjin berprestasi 2.0 liter pengecas turbo dan aspirasi natural serta enjin 2.2 liter bagi melengkapkan barisan enjin Campro sedia ada.