
Bagaimana kita dapat mengetahui tanda amaran awal bagi kanser pankreas? Dikongsikan di sini beberapa tanda amaran awal kanser pankreas yang boleh dikesan. Di antara tanda-tanda awal ialah apabila pesakit mempunyai atau mendapat:
1. Diabetes secara mendadak
Tumor pankreas ini boleh menyebabkan pesakit kanser mendapat diabetes secara tiba-tiba/mendadak.
2. Mata dan kulit menjadi semakin kuning
Ini disebabkan tumor pankreas, walaupun bersaiz kecil, boleh menutup atau menyumbat duktus hempedu yang terletak di bahagian pangkal pankreas yang menyebabkan air hempedu berkumpul di situ kerana tersekat. Ini juga boleh menyebabkan jaundice (sakit kuning).
3. Gatal di kulit, tapak tangan dan tapak kaki
Kesan sampingan jaundice yang biasa ialah gatal-gatal di tapak tangan dan tapak kaki disebabkan oleh reaksi kulit terhadap bilirubin (bahan kimia berwarna coklat kekuningan di hati yang menyebabkan jaundice).
4. Kurang selera makan
Biasanya 6-8 bulan sebelum tumor pankreas dapat dikesan, pesakit kanser ini tiba-tiba hilang selera makan dan cepat berasa kenyang selepas makan sedikit.
5. Perubahan deria rasa
Pesakit kanser pankreas bertukar deria rasa yang biasa. Contohnya, tiba-tiba tidak suka bau kopi, rokok, atau lain-lain yang sebelum itu disukainya.
6. Sakit perut
Rasa sakit perut ini terasa sehingga ke bahagian belakang badan. Rasa sakit ini akan hilang apabila badan ditundukkan ke depan.
7. Pundi hempedu membesar
Pundi hempedu pesakit kanser ini membesar disebabkan oleh duktus hempedu yang tersumbat di mana hempedu akan membengkak/membesar di belakang duktus ini. Pundi hempedu yang membesar ini boleh dirasai oleh doktor yang memeriksa pesakit dan juga boleh dilihat pada ujian imej.
8. Najis yang pucat, terapung dan berbau busuk
Ini disebabkan tumor pankreas menghalang enzim penghadaman sampai ke pangkal usus bagi proses penghadaman lemak. Jadi, makanan berlemak tidak dapat dihadamkan yang akhirnya najis yang dihasilkan tidak padat, ringan, berbau dan terapung kerana kandungan lemak yang tinggi.
9. Najis hitam dan berdarah
Ini disebabkan oleh pendarahan di bahagian atas usus.
10. Turun berat badan secara mendadak tanpa dirancang
Ini disebabkan oleh kurangnya enzim pankreas yang dihasilkan bagi menghadamkan lemak yang diperlukan sebagai sumber tenaga. Lemak hanya melalui sistem penghadaman tanpa proses penghadaman.
Jika terdapat dua atau tiga daripada tanda-tanda berikut, silalah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Sumber : Lelaki Sihat
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Apa Kena Mengena Stress Dan Pemakanan? Jom Baca!

Pengamalan Diet Seimbang
“We are what we eat”. Pengamalan diet yang seimbang dapat membantu menghindari diri daripada stres. Stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu ‘mood’, mengurangkan tumpuan dan juga boleh memberi kesan kepada semua organ serta fungsi tubuh kita.
Dengan pengambilan diet yang seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan di samping memastikan tahap mental dan fizikal sentiasa stabil. Pengambilan diet yang seimbang perlulah berdasarkan kepada piramid makanan.
Pemakanan dan Stres
Stres boleh menyebabkan kehilangan/ pengurangan nutrien seperti vitamin C, B kompleks, magnesium dan kalsium.
Semasa stres, kita akan bertendensi untuk;
mengalami masalah emosi makan di mana kita akan makan di saat tidak lapar atau makan makanan yang tidak berkhasiat.
melangkau waktu makan utama terutama sarapan pagi dan akan merasa lapar yang keterlaluan pada waktu makan tengah hari serta bertendensi untuk mengambil makanan yang tidak berkhasiat.
mengambil makanan yang mengandungi tinggi lemak, garam dan gula.
mengambil snek yang tidak sihat seperti makanan ringan.
mengambil makanan segera yang mudah didapati dan tidak memerlukan penyediaan.
Perlunya Pengalaman Diet Seimbang
Diet yang seimbang membekalkan nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh badan bagi membantu dalam menangani stres.
Kepelbagaian dan diet yang seimbang dapat memastikan badan kita mendapat semua nutrien yang diperlukan.
Makanan yang Membantu Mengurangkan Stres
Antara makanan yang dapat membantu bagi mengurangkan stres adalah:
Sumber kekacang seperti badam, pistachio dan kacang walnut yang mana ianya kaya dengan Vitamin B2, Vitamin E, magnesium dan zink. Vitamin B2 membantu dalam sekresi serotonin iaitu hormon yang memberikan rasa kegembiraan. Zink adalah antara komponen yang diperlukan dalam melawan stres manakala Vitamin E berkesan dalam menghalang penyakit yang disebabkan oleh stres seperti penyakit jantung.
Sumber ikan, terutama ikan dari laut dalam seperti ikan salmon, mackerel dan sardin, dan ikan air tawar seperti ikan patin dan haruan, adalah antara sumber makanan yang tinggi dengan Omega 3 untuk membantu menstabilkan stres (hormon kortisol).
Susu kaya dengan antioksidan dan mengandungi kalsium yang tinggi untuk membantu menyingkirkan radikal bebas yang berkaitan dengan stres.
Labu merah dan jambu batu adalah makanan yang kaya dengan Vitamin C. Keadaan stres yang berpanjangan boleh menyebabkan kekurangan penyimpanan Vitamin C yang boleh menyebabkan masalah gusi berdarah.
Bijirin penuh seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, beras perang dan oat mengandungi karbohidrat kompleks yang bertindak untuk merangsang pengeluaran hormon serotonin (bahan kimia pencetus rasa gembira di dalam otak). Bijirin penuh yang kaya dengan Vitamin B dapat meningkatkan tenaga dan mengurangkan keletihan
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi dengan antioksidan seperti Vitamin C, Vitamin E dan beta karotena membantu dalam mengurangkan kesan radikal bebas. Sumber Vitamin C yang baik adalah jambu batu, brokoli dan oren. Sumber Vitamin E yang baik adalah betik, bayam dan zaitun manakala makanan yang tinggi dengan beta karotena termasuk keledek, lobak merah dan labu.
Aprikot kering amat kaya dengan magnesium dan berkhasiat untuk membantu menenangkan otot dari dalam. Magnesium juga berfungsi membantu mengawal atur hormon stres.
Tips Menghindari Stres Melalui Pemakanan dan Gaya Hidup Sihat
Tabiat diet yang tetap
Pengambilan makanan yang sedikit tetapi kerap adalah digalakkan manakala 3 waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam adalah perlu. Pemakanan yang sihat bermula dengan sarapan pagi yang hebat.Ambil diet seimbang
Pengambilan diet yang seimbang dan pelbagai perlulah berdasarkan piramid makanan.Kurangkan pengambilan kafein
Pengambilan kafein seperti kopi dan teh disarankan tidak melebihi 2 cawan sehari. Banyakkan minum air mineral atau air kosong. Pengambilan kafein yang banyak akan lebih meningkatkan stres serta mengurangkan tumpuan dan keberkesanan dalam kerja serta mengganggu kualiti tidur.Kurangkan pengambilan garam
Pengambilan garam secara berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan garam seperti makanan segera, serbuk perasa, makanan dalam tin, ikan masin, telur masin dan jeruk.Kurangkan gula
Pengambilan gula yang tinggi boleh mengurangkan kapasiti sistem imun yang perlu dalam pengurusan stres. Selain itu, ia juga meningkatkan kadar gula dalam darah yang boleh menyebabkan diabetes dan masalah kegemukan.Berhenti dari pengambilan alkohol
Kurangkan pengambilan alkohol secara beransur-ansur agar keseimbangan badan dapat dikekalkan dan menghindari stres.Keperluan vitamin dan mineral yang mencukupi melalui diet seimbang
Pengambilan vitamin dan mineral yang mencukupi dapat meningkatkan keseimbangan badan dan menghindarkan stres. Sumber makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral adalah buah-buahan dan sayur-sayuran.Penggunaan bahan makanan yang mengandungi probiotik
Pengambilan bahan makanan yang mengandungi ‘lactobacillus acidhophitis’ dapat menghalang pembesaran bakteria patogen dan menggalakkan sistem imun, menambah vitamin dan meningkatkan ketahanan terhadap stres.Kekalkan berat badan
Pengekalan berat badan yang ideal dan pengamalan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 3 kali seminggu selama 30 minit mampu memberikan ketenangan di samping badan menjadi lebih aktif.Hentikan tabiat merokok
Nikotin yang terdapat di dalam tembakau memberikan rasa ketenangan pada jangka masa pendek tetapi toksin di dalam nikotin akan meningkatkan degupan jantung dan stres.
sumber: lelakisihat.com
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
Bila Kawan Mengadu Sakit Gastrik, Dia Bukan Mengada-Ngada, Memang Perit Sangat La Tuh!

Gastrik antara masalah sangat lazim dan secara umumnya ia boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu gastritis (keradangan lapisan mukosa yang melapik dinding perut) dan ulser perut atau peptik pada lapisan sel yang lebih dalam (lebih teruk berbanding gastritis).
Biasanya apabila orang berkata mereka ada masalah gastrik, ia merujuk kepada keadaan pertama (gastritis).
Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH 1 hingga pH 2) yang berfungsi mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terkakis. Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik.
Pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah). Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.
Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa yang sudah lemah.
Tanda Gastrik
Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut. Antara tandanya ialah :
* Sakit perut (pada bahagian atas perut atau abdomen)
* Rasa senak, berangin atau pedih
* Rasa tidak selesa
* Kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan
* Rasa mual (loya) dan muntah
* Hilang selera makan
* Berat badan turun (pada peringkat teruk)
Jika sampai peringkat teruk, ulser perut menyebabkan pendarahan dan ia boleh dilihat dalam 2 bentuk iaitu :
* Najis menjadi hitam seperti tar
* Muntah mengandungi darah atau berwarna gelap seperti kopi
Siapa Yang Berisiko?
Gastrik adalah masalah sangat lazim dan boleh berlaku pada sesiapa saja. Secara umumnya lebih ramai lelaki mengalami masalah gastrik dengan nisbah 1.5 hingga 2 kali ganda berbanding wanita. Ia biasanya disebabkan gaya hidup dan faktor risiko seperti :
# Individu yang kerap mengambil ubat tahan sakit dalam tempoh lama seperti ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID). Ini termasuk aspirin (yang diambil pesakit jantung untuk mencairkan darah)
Tempoh pengambilan ubat yang membolehkan seseorang mengalami gastrik berbeza antara individu kerana bagi orang yang sensitif, pengambilan selama beberapa minggu boleh menyebabkan masalah ini
# Merokok dan banyak minum minuman keras. Asap rokok dan alkohol boleh memberi kesan negatif dan mencederakan lapisan pertahanan (lapisan mukosa)
# Jangkitan bakteria Helikobakter pilori (H pilori). Bakteria ini berupaya melemahkan lapisan mukosa melalui 2 cara iaitu :
i) Bakteria H pilori menghasilkan enzim urase yang memecah atau menguraikan urea kepada ammonia. Ammonia ini bahan toksik yang boleh menjejaskan lapisan mukosa. Kehadiran banyak ammonia melemahkan lapisan pertahanan yang menyebabkan asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan mengakibatkan keradangan
ii) Bakteria H pilori mempunyai bentuk berpilin (berlingkar). Jadi ia boleh membuat lubang pada lapisan mukosa (seperti lubang cacing) yang akhirnya melemahkan lapisan pertahanan ini
# Individu yang banyak mengalami tekanan sama ada tekanan kerja, peribadi, sosial atau mendapat jangkitan kuman yang teruk juga lebih berisiko diserang masalah gastrik. Malah masalah gastrik juga kerap dikesan pada pesakit yang baru menjalani pembedahan besar kerana pembedahan juga adalah satu bentuk tekanan kepada badan.
# Individu yang suka mengambil ubat tradisional, terutama yang mengandungi akar kayu. Ia termasuk ubat tradisional Cina dan Melayu kerana kebanyakan ubat tradisional dicampur steroid supaya ia lebih berkesan dan mujarab.
Rawatan
Ada 3 jenis ubat untuk gastrik iaitu :
* Antasid – bertindak memperbaiki dan memberi lapisan tambahan kepada lapisan pertahanan (mukosa) yang diambil 3 kali sehari
* Antagonis H2 – berfungsi mengurangkan rembesan asid. Ubat antasid dan antagonis H2 diberi untuk gastritis
* Perencat pam proton (PPI) – bertujuan mengurangkan rembesan asid dengan lebih berkesan; biasanya diberi kepada pesakit yang alami gastritis teruk atau ulser perut
Masalah yang kerap berlaku ialah pesakit tidak menghabiskan ubat diberi dan biasanya mereka berhenti mengambil ubat selepas 3 atau 4 hari iaitu apabila kesakitan hilang.
Mengapa perlu menghabiskan ubat? Ubat diberi sebenarnya membantu memulihkan lapisan pertahanan dalam perut dan ia mengambil masa 2 minggu untuk kembali normal. Memberhentikan pengambilan ubat selepas 3 atau 4 hari bermakna anda sengaja mengundang gastrik untuk datang balik.
Malah lebih baik jika pesakit jalani pemeriksaan teropong perut (endoskopi) untuk mengetahui tahap masalah dan melihat sama ada pesakit mengalami jangkitan bakteria H pilori bagi menentukan jenis ubat yang sesuai.
Jaga Pemakanan, Ubah Gaya Hidup
Selain pengambilan ubat, pesakit perlu menjaga pemakanan dan mengubah gaya hidup bagi mengelak serangan gastrik berulang. Antara perubahan yang perlu dilakukan ialah :
* Berhenti merokok dan minum minuman beralkohol
* Hentikan pengambilan ubat tahan sakit
* Amalkan pemakanan sihat dan makan secara teratur (sarapan, makan tengah hari dan malam). Pada bulan puasa, kena bangun sahur dan sebaiknya melewat-lewatkan bersahur
* Makan sedikit-sedikit tetapi kerap
* Kurangkan makanan berempah, bercili, masam
* Kurangkan minuman mengandungi kafein (kopi, teh dan minuman berkarbonat)
* Ambil susu kerana sifat susu yang beralkali boleh mengurangkan keasidan perut
* Kurangkan pengambilan makanan yang disifatkan berangin. Jenis makanan ini berbeza antara individu dan ubah suai mengikut keperluan masing-masing
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI
11 Menu Yang Boleh Menyelamatkan Lelaki Dari Serangan Penyakit Jantung

Mengubah corak pemakanan antara perkara mampu menyelamatkan jantung anda. Ini boleh dilakukan dengan memilih makanan tertentu mengikut piramid makanan, mengurangkan pengambilan minyak, lemak, garam dan gula dalam hidangan. Namun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung anda, antaranya:
1.Ikan
Antara pilihan ikan paling baik ialah salmon. Ikan ialah sumber asid lemak omega-3 yang baik. Ia melindungi jantung dengan mengurangkan radang dan risiko pembekuan darah. Lemak dalam ikan juga membantu mengekalkan paras kolesterol pada kadar yang sihat. Selain salmon, pilihan lain termasuk ikan laut yang berminyak seperti tuna atau sardin dengan pengambilan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Untuk lebih sihat, ambil salmon panggang bersama salad.
2.Oat
Bijirin oat mengandungi serat larut dipanggil beta glucan yang membantu mengurangkan paras keseluruhan kolesterol termasuk kolesterol LDL. Serat boleh larut ini juga membantu sistem penghadaman kekal sihat. Jika sukar menikmati bijirin oat begitu saja, campuran oat bersama susu rendah lemak atau susu soya itu boleh ditambah hirisan buah-buahan segar seperti pisang, strawberi atau oren.
3.Epal
Epal mengandungi sejenis bahan iaitu quercetin yang bertindak sebagai antiradang dan membantu mencegah pembekuan darah. Ia juga mengandungi vitamin dan serat, malah enak dijadikan snek ringan atau menambah hirisan epal dalam masakan. Epal membantu untuk mengurangkan sehingga 50 peratus risiko penyakit jantung jika pengambilannya dilakukan secara berterusan misalnya, dua biji epal atau segelas jus epal sehari.
4.Sayuran berdaun hijau
Sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan sawi bukan saja mengandungi vitamin E, malah ia turut dikaitkan dengan keupayaan daya ingatan apabila berusia. Sayuran hijau kaya mineral yang mampu melindungi jantung daripada masalah kesihatan.
Pastikan dalam setiap hidangan tengah hari, masukkan sayuran hijau sebagai menu harian anda. Untuk mendapatkan mineral dan zat terkandung dalam sayuran hijau, elak daripada memasaknya terlalu lama. Sayur hijau juga boleh dimakan mentah seperti salad atau dijadikan ulam-ulaman.
5.Tomato
Tomato baik untuk kesihatan jantung kerana kaya dengan vitamin dan lycopene yang terbukti membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.
Hanya tambahkan hirisan tomato pada sandwic atau banyakkan sos tomato dalam makanan. Sos tomato yang dimasak dan sos tomato di dalam tin yang mudah didapati di kedai mengandungi lebih banyak lycopene berbanding tomato mentah.
6.Soya
Protein soya ialah sumber yang baik untuk menggantikan daging merah apatah lagi ia membantu untuk mencegah penyakit jantung. Terdapat pelbagai makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe. Anda juga boleh mengambil susu soya setiap hari untuk kekal cergas.
7.Minyak zaitun
Minyak zaitun mengandungi kandungan lemak tidak tepu sehingga 77 peratus sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan menurunkan paras kolesterol. Anda boleh mengambil minyak zaitun satu sudu sehari sebagai makanan tambahan atau dijadikan bahan dalam masakan. Jika mampu gunakan minyak zaitun bagi menggantikan minyak lain dalam masakan.
8.Bijirin penuh
Bijirin penuh menyediakan vitamin dan serat bagi menguatkan jantung. Jika anda penggemar roti, pilihlah roti yang dihasilkan daripada bijirin penuh seperti roti perang dan bukannya roti putih.
9.Badam
Badam ialah jenis kacang yang mengandungi minyak menyihatkan seperti vitamin E bagi membantu mengekalkan paras kolesterol. Ia juga sumber yang baik untuk protein dan serat.
10.Avokado
Avokado kaya lemak tidak tepu dan berfungsi menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik HDL dalam tubuh. Buah ini juga memungkinkan penyerapan karotenoid, khususnya betakaroten dan lycopene, yang sangat penting untuk kesihatan jantung. Amalkan makan avokado setiap hari bagi mendapatkan jantung yang sihat.
11.Beri
Semua jenis buah berasaskan beri seperti blueberi, raspberi dan strawberi kaya antioksidan dan berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser. Amalan pengambilan setiap hari menguatkan jantung sekali gus mengelak daripada serangan jantung.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI