Berapa ramai diantara kita yang boleh menjalani kehidupan seharian tanpa bergantung pada telefon bimbit?
Perkara itu nyata boleh dilakukan apabila ia dibuktikan oleh pelakon dan pengarah, Pierre Andre yang mendedahkan sudah 10 tahun tidak menggunakan telefon bimbit
Selain itu, Pierre juga tidak mempunyai sebarang akaun media sosial kecuali saluran YouTube Pierre Andre Vlog yang diwujudkan pada tahun 2019, demikian lapor Sinar Harian.
Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre memaklumkan setiap pihak akan menghubinya melalui isterinya sahaja iaitu Siti Nur Hidayah Hashim, termasuklah berkaitan urusan kerja.
“Sejak dulu lagi saya tak berapa suka guna telefon bimbit. Masa zaman berkawan dengan isteri pun, saya lebih suka guna telefon awam. Telefon beri saya tekanan.
“Telefon yang saya ada pun hanya digunakan untuk merakam video bagi kandungan YouTube saya, tetapi bukan alat komunikasi utama,” katanya.
Tambah lelaki berusia 39 tahun itu, dia juga lebih selesa menggunakan telefon bimbit Hidayah sekiranya mahu membuat carian di Internet ataupun mengetahui sesuatu perkara.
“Saya tidak nafikan, ramai artis baru yang saya tak kenal dan saya perlu buat carian mengenai individu tersebut sekiranya saya mahu tahu tentang dia.
“Biasanya kalau saya pinjam telefon isteri, saya hanya belek sepintas lalu untuk mengetahui perkembangan semasa,” jelasnya.
Ditebak ‘kehilangannya’ sebaik mendirikan rumah tangga dengan Hidayah 11 tahun lalu, Pierre berkata, dia dan isteri membuat keputusan untuk membuka perniagaan serta memberi tumpuan terhadap keluarga.
Pada masa sama, Pierre merasakan sudah tiba masa buatnya memberi laluan kepada generasi muda.
“Saya boleh katakan saya jenis ‘family man’ (lebih suka bersama keluarga). Saya tidak betah berpisah lama dengan isteri dan anak. Sejak berkahwin, saya memang tidak pernah berenggang dengan isteri kecuali bila ke tandas.
“Selepas berkahwin, saya dan isteri buat keputusan untuk buka perniagaan kecil-kecilan seperti jual baju dan minyak wangi,” ujarnya yang belum merancang untuk benar-benar kembali aktif dalam dunia seni atau tidak selepas ini.
Bagaimanapun sebaik mendapat anak kedua setahun lalu, Pierre berkata, Hidayah tiba-tiba memberi signal untuknya kembali ke kerusi pengarahan.
Kredit Sumber & Foto: Sinar Harian
BACA: Impian Dato’ Azizulhasni Sewaktu Kecil Tercapai, Wajah Terpampang Pada Produk Minuman Malt Coklat