10 Jenis Kaca Mata Popular Yang Lelaki Boleh Pakai Untuk Nampak Kacak!

Share

Penggunaan kaca mata bukan hanya untuk mengelakkan mata terkena silau matahari malah ia disifatkan sebagai aksesori untuk menambahkan gaya kacak lelaki.

Di pasaran hari ini, terdapat pelbagai jenama yang diperkenalkan namun sesuai atau tidak dengan bentuk wajah anda, aspek ini juga perlu diambil kira.

1. Stail : The Wayfarer

The wayfarer tampil dengan rekaan bingkai tebal dan ia mula diperkenalkan Ray Ban sekitar 1956. Lelaki dan wanita boleh memakai the wayfarer ini kerana ia bersifat uniseks selain jika anda mahu tampil ‘kemas biasa-biasa’ atau ‘tidak terlalu funky’.

2. Stail : The Aviator

The Aviator tampil dengan rekaan batang halus membentuk bingkai dan ia pertama kali ditampilkan pada tahun 1936. Rekaan ini boleh membuatkan si pemakai kelihatan ‘macho’ dan ‘matang’ selain ia pernah digayakan Tom Cruise dalam filem ‘Top Gun’ serta dipakai juruterbang dalam Perang Dunia Kedua untuk mengelak silau matahari.

3. Stail : Teashades

Teashades juga dikenali sebagai ‘Lennon specs’. Bentuk kaca mata bulat ini pernah dipopularkan oleh kumpulan lagenda, The Beatles dan kalau dalam filem komedi Cina lama, ada dua pelajar kung fu gemuk sering memakai kaca mata jenis ini. Mereka yang memakai Teashades dilihat sebagai rare dan memiliki personaliti yang kreatif.

4. Stail : Clear Frame

Ada yang suka berwarna hitam atau berwarna-warni tetapi bagi pemakai Clear Frame, mereka jelas tidak mahu kelihatan begitu menonjol. Dalam erti kata lain, mereka tidak gemarkan perhatian daripada orang lain secara serius tetapi dalam jiwa mereka, tetap memiliki elemen ‘klasik’ yang tidak dapat disembunyikan.

5. Stail : Rimless

Rekaan Rimless amat bertentangan dengan tiga rekaan di atas kerana kaca mata ini tiada bingkai hadapan dan cuma disambungkan terus kepada pemegang telinga. Kaca mata ini bersifat mimalis dan pemakainya tidak menitik beratkan gaya sebaliknya cukuplah sekadar ia dapat mengelakkan silau matahari. Oleh itu, pemakai kaca mata jenis ini disifatkan seseorang yang ‘simple’ tetapi ‘matang’.

6. Stail : Brownline

Jika Rimless tiada bingkai pada bahagian hadapan, Brownline tampil dengan semi-bingkai. Rekaan ini menampakkan seseorang itu kekal bergaya tetapi dalam keadaan yang cukup mimalis. Macam nak tak nak. Tapi ramai yang nak kerana Brownline memang membuat seseorang itu kelihatan sangat ‘cool’.

7. Stail : Oversized

Oversized biasanya dilabelkan sebagai ‘king’ atau ‘queen’ buat sang pemakai. Sesiapa yang ingin tampil kelihatan vogue dan persis diva, inilah kaca mata yang paling sesuai untuk digunakan. Boleh dikatakan pemakai Oversized sentiasa memiliki keyakinan diri yang tinggi.

8. Stail : Shield

Kaca mata ini menampilkan gaya ala-ala futuristik. Pemakainya terdiri daripada mereka yang gemarkan muzik jenis tekno dan mahu kelihatan ‘sangat jauh ke hadapan’. Walau bagaimanapun, tidak ramai yang berani memakai kaca mata jenis ini kerana dianggap pelik dan keterlaluan kecuali digunakan sebagai prop untuk projek futuristik.

9. Shutter Shades

Kaca mata ini menampakkan si pemakai kelihatan begitu ‘funky’. Jika memakainya dalam sesebuah majlis keraian atau parti, anda mungkin menjadi perhatian. Karakter pemakai kaca mata jenis ini turut menggambarkan anda memiliki jiwa yang sangat bergelora untuk mencuba sesuatu yang baharu dan ‘gila’.

10. Stail : Sport

Kaca mata ini diperlukan oleh mereka yang gemar bersukan kerana rekaannya yang tidak mudah tertanggal serta tahan silau. jadi, memang sesuai untuk dipakai ketika melakukan aktiviti lasak meski pun dalam cuaca serta matahari yang sangat terik. Yang penting, anda kekal nampak bergaya walaupun sedang bersukan.

Dalam banyak-banyak kaca mata yang ditulis, yang mana satu anda sedang pakai atau miliki ketika ini? Kongsikan bersama Maskulin!

Published by
Akyem Samad