Suami adalah ketua bagi sesebuah keluarga namun sebagai seorang lelaki, kita tidak juga selalunya betul dan tidak seharusnya menggunakan kuasa untuk mempertahankan diri.
Jika melakukan salah, akuilah tentang kesalahan kita kerana itu adalah perangai buruk dalam diri kita tetapi cubalah untuk insaf dan jauhi perkara atau tindakan yang buruk.
Ini kerana dalam diam seorang isteri, hatinya penuh luka dan kesannya sukar untuk diubati biar pun dia sudah kelihatan kembali senyum.
Sebagai suami juga, pastinya anda terkesan dengan tindakan anda lebih-lebih lagi apabila isteri diam tetapi air matanya mengalir jatuh.
Ya, lelaki memang ego tetapi apa gunanya ego itu jika sang isteri tersedu-sedu menahan esakannya kerana kesilapan dan kelemahan kita?
Apa yang lelaki sudah buat? Ini 10 dosa suami terhadap isteri yang mungkin dilakukan secara tanpa sedar :
1. Tidak mengajar ilmu agama kepada isteri
Suami yang mampu memberi nafkah, membelikan rumah dan kenderaan serta memenuhi segala keperluan hidup mungkin ada ramai. Namun berapa ramai para suami sedar akan kewajibannya untuk mengajarkan ilmu agama kepada isteri dan juga anak-anak? Padahal ia sudah menjadi kewajiban sang suami untuk memelihara diri dan keluarga yang dipimpinnya dari sakitnya azab kubur dan seksa neraka.
2. Tidak merasa cemburu terhadap isteri
Isteri berjalan-jalan ke luar rumah dan ke sana ke mari dengan jantan lain, membuka auratnya atas alasan ‘selesa jadi diri sendiri’ untuk ke mana-mana sahaja namun suami langsung tidak merasa cemburu. Ini adalah salah satu kesalahan dan dosa yang jelas dilakukan oleh suami dengan membiarkan isterinya.
3. Tidak memberi wang sebagai nafkah zahir untuk isteri
Walaupun isteri itu ada pekerjaannya yang tersendiri, tetap digalakkan untuk suami memberi nafkah zahir seperti wang kepada isterinya untuk berbelanja. Tahukah anda? Apabila anda membiarkan isteri boros dengan wang anda, rezeki anda akan lebih terbuka luas? Bayangkan seorang wanita sanggup meninggalkan kedua ibu bapanya untuk hidup bersama termasuk rela mengandung anak dan melahirkannya untuk sang suami. Apa alasan anda untuk tidak memberikan nafkah kepada isteri?
4. Biarkan isteri bekerja, suami goyang kaki
Ada juga segelintir suami bukan hanya tidak memberi nafkah kepada isteri malah disuruhnya isteri bekerja tetapi dia duduk rumah goyang kaki. Kasihanilah isteri yang bekerja siang dan malam sedangkan sang suami pun langsung tiada alasan mengapa dia tidak boleh bekerja.
5. Membenci isteri sendiri
Antara perkara yang membuatkan si suami berdosa adalah dengan membenci isteri sendiri kerana perangai-perangai tertentu. Padahal, mungkin isteri kita berbuat demikian kerana dia sayangkan kita dan mahu pelihara rumah tangga yang dibina. Lagi pun, Rasulullah juga pernah mengingatkan:
“Janganlah seorang suami yang beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya,” (H.R. Muslim).
6. Menyebarkan soal aib isterinya ketika di ranjang
Isteri itu adalah anugerah Allah buat seorang suami. Maka sebagai suami, anda harus melindungi segala-galanya tentang isteri dan jangan sesekali buka cerita yang tidak elok kepada rakan-rakan walaupun atas alasan untuk bergurau atau meraih simpati. Ia tetap salah dan tidak dibenarkan.
7. Engan bantu isteri buat kerja rumah
Tak jatuh pun kehenseman seorang lelaki di mata isteri jika rajin membuat kerja rumah. Malah menjadi contoh yang baik kepada anak-anak kerana Rasulullah pun membantu isterinya. Jadi siapa kita sebagai lelaki? Takkan cuma mahu jadi suami yang pandai mengarah tetapi tak reti jaga hati dan perasaan isteri.
8. Berpoligami tetapi tidak mengikuti aturannya
Orang kahwin lebih, anda pun teringin nak kahwin sama. Kalau diri tu mampu dan adil, tak mengapalah juga. Ini isteri seorang pun dah cerita pasal masalah kewangan, duit tak cukuplah dan sebagainya. Mampu ke anda jadi suami yang baik untuk memenuhi semua… semua.. semua keperluan isteri sebagai kurniaan Allah yang perlu dipelihara. Jika tidak, berdosa tau!
9. Ringan tangan memukul isteri
Isteri adalah insan yang lemah dan memerlukan kekuatan seorang suami. Bukannya di tangan-tangankan sesuka hati mengikut amarah suami yang sering didorong nafsu syaitan untuk marah dan jadi panas baran. Ingat, anda berkahwin untuk buat isteri bahagia, bukan derita.
10. Baik dengan orang lain, kasar dengan isteri
Dulu masa bercinta, ‘pijak gajah pun, gayah ketawa’. Betapa indahnya waktu itu tetapi selepas kahwin, mengapa anda berubah setelah memiliki permaisuri hati? Kalau dengan orang luar, masya’Allah.. bercakapnya, layannya bukan main baik tetapi dengan isteri sendiri, anda layan macam musuh dan orang yang tak pernah bahagiakan anda!
Kesemua perkara ini mungkin dilakukan tanpa sedar dan untuk memiliki kehidupan yang baik, tinggikanlah martabat isteri kita. Insya’Allah dipermudahkan semua urusan..
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI