Gaya Hidup

10 Checklist Yang Perlu Anda Semak Semula Bila Dah Masuk 15 Ramadan

Share

Apabila dah nak masuk 15 Ramadan, sudahkah kita persiapkan segala urusan yang penting dan dituntut dalam Islam?

Kalau belum, anda perlu semak semula checklist yang dibuat. Takut-takut ada yang tertinggal dan anda pula rasa rugi kalau tak :

1. Khatam al-Quran

Menjadi misi setiap orang alangkah beruntungnya kalau dapat khatam al-Quran dalam bulan Ramadan. Sudahlah dapat pahala, banyak pulak tu!

2. Bayar zakat fitrah

Selain daripada bayar zakat pendapatan yang ditolak setiap bulan menerusi gaji anda, jangan sesekali lupa nak bayar zakat fitrah pada bulan Ramadan ini.

3. Tunaikan tarawih

Ada orang, pada 15 Ramadan awal sahaja rajin pergi ke surau atau masjid untuk menunaikan solat tarawih. Masuk 15 Ramadan terakhir, bilangan jemaah semakin berkurangan.

4. Cari malam lailatul qadar

Lailatul qadar adalah malam seribu bulan. Sesiapa yang beribadah pada malam tersebut akan menerima pahala yang berlipat kali ganda. Amat malang bagi sesiapa yang terlepas malam yang begitu istimewa ini.

5. Sedekah

Sudahkah kita bersedekah dalam bulan ini? Kalau belum, rajin-rajinkanlah untuk hulurkan sumbangan. Tak kisahlah walaupun hanya RM1 untuk tabung masjid dan RM50 untuk tempah bilik karaoke. Hanya Allah yang tahu amalan anda.

Itulah antara urusan akhirat yang perlu diutamakan terlebih dahulu dalam bulan Ramadan namun jika bercakap tentang urusan duniawi, anda mungkin perlu :

6. Kemas rumah

Memandangkan tidak lama lagi akan menjelang hari raya Aidilfitri, tak salah untuk anda kemas rumah dengan lebih awal. Nak pasang langsir atau tukar perabot baharu, terpulanglah kepada bajet anda.

7. Buat kuih raya

Menjadi rutin bagi golongan mak, isteri serta anak dara berperang di dapur untuk menyediakan kuih raya. Sebagai lelaki, support mereka dengan beli bahan-bahan mentah seperti tepung, mentega dan sebagainya. Kalau malas, beli sahaja biskut raya!

8. Cari baju raya

Mana yang baju rayanya masih elok, tak salah kalau pakai baju raya dua – tiga tahun lepas sekali pun. Tetapi kalau rasa nak tukar baju baharu, pun boleh tempah atau cari sahaja yang sudah siap.

9. Servis kereta

Jangan esok nak balik kampung, hari ini baru cari bengkel nak servis kereta anda. Kalau boleh, sila servis awal-awal untuk mengelakkan kedai bercuti awal dan anda juga yang terlopong.

10. Rancang nak balik

Inilah situasi yang paling genting. Nak balik rumah mak atau rumah mak mertua? Kalau boleh berbincanglah elok-elok dan jangan gaduh-gaduh. Raya jer pun!

Published by
Akyem Samad