10 Adab Bersedekah Wajib Kita Tahu & Amalkan, Jangan Ambil Ringan

Share

Beberapa hari lalu telah tular di laman media sosial sebuah video yang menunjukkan seorang ahli politik mengedarkan bantuan makanan dalam bentuk seekor ikan kepada setiap rumah yang dikunjungi.

Apa yang hangat diperkatakan oleh warganet yang sesetengahnya berasa kurang senang kerana ikan yang diberikan itu adalah bantuan barang basah tanpa sebarang bekas atau plastik.

Malah ada yang mengatakan tindakan seperti itu seolah-olah kurang sopan dan menghina penerima bantuan. Selain itu, ada juga warganet yang membangkitkan soal kebersihan kerana pemberian barang basah seperti ikan mentah seperti itu tanpa ditutup bekas atau bungkusan yang elok.

Melihatkan situasi ini MASKULIN tertarik untuk berkongsi tentang adab dalam memberi sedekah. Pertama sekali MASKULIN memuji tindakan ahli politik itu kerana sekurang-kurangnya dia cakna dalam membantu orang ramai pada bulan Ramadan. Mungkin caranya sahaja sedikit tidak kena dan tidak disenangi oleh ramai.

Topik beradab dalam memberi sedekah ini pernah diulas oleh Ustaz Don Daniyal Don Biyajid suatu ketika dahulu di laman Facebook kendaliannya yang kemudian turut dipaparkan di Sinarplus Sinar Harian.

Berikut 10 adab bersedekah yang perlu kita ambil tahu.

1. Tangan di atas memberi lebih baik daripada tangan di bawah (menerima).

2. Ikhlas dalam bersedekah – wajib mengikhlaskan sedekah hanya kerana ALLAH dan demi mendapatkan keredaan-NYA. Sedekah dengan menunjuk-nunjuk dan berbangga diri menyebabkan kerugian di akhirat kelak.

3. Mendahulukan sedekah yang wajib – sebagaimana yang disebut dalam hadis Qudsi yang bermaksud: “…dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-KU dengan sesuatu yang lebih AKU sukai daripada apa – apa yang aku telah AKU wajibkan keatasnya..” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

4. Tidak boleh menunda untuk membayar sedekah (zakat) yang wajib tanpa adanya keuzuran.

5. Sedekah atau zakat yang dikeluarkan hendaklah dipastikan diberikan kepada mereka yang benar – benar memerlukan seperti orang miskin, anak – anak yatim, janda dan sebagainya. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya zakat hanya untuk orang fakir, miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf, hamba untuk dimerdekakan, yang berhutang, yang berjuang dijalan ALLAH dan orang yang bermusafir.” (surah al-Tawbah ayat 60)

6. Bersedekah dengan harta yang halal – Ia adalah antara sebab sedekah tersebut diterima oleh ALLAH dan membuahkan hasil yang lebih banyak.

7. Tidak mengungkit – ungkit sedekahnya. Sebagaimana firman ALLAH “Wahai orang – orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekah mu dengan menyebut-menyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)..” (Surah al-Baqarah ayat 264)

8. Wajib keatas pemberi sedekah merenung nikmat ALLAH SWT ke atas dirinya kerana ALLAH memberikan rezeki yang lebih.

9. Mendahulukan sedekah kepada waris terdekat – “Sedekahlah kepada orang miskin (mendapat satu pahala), sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala iaitu pahala sedekah dan pahala silaturrahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

10. Jangan buruk siku – Tidak harus seseorang mengambil kembali sedekahnya daripada orang yang menerimanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang bersedekah kemudian dia mengambil kembali sedekahnya, seperti anjing yang memuntahkan sesuatu kemudian ia menjilat muntahnya untuk memakannya kembali.” (Hadis Riwayat Muslim).

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat buat kita semua. Jangan lupa untuk subscribe YouTube dan juga follow TikTok MASKULIN ya!

@maskulinmy Cara mengekalkan kecergasan sepanjang bulan puasa. Ikuti 5 tip ini! #maskulin #majalahmaskulin ♬ original sound – Maskulin
Published by
Farizul Izwany Ibrahim