Bukan sahaja t-shirt, rupanya macam-macam jenis kemeja lelaki yang ada di pasaran untuk anda tampil bergaya.
Bila menyebut tentang kemeja, mungkin ada yang menganggap ia lebih sesuai digunakan untuk acara-acara formal.
Pada dasarnya kemeja lelaki juga boleh divariasikan untuk pelbagai situasi termasuk untuk acara santai.
Agar anda tampil smart dan bergaya, jangan hanya bergantung pada sehelai kemeja semata-mata kerana terdapat enam jenis kemeja yang perlu anda miliki untuk memudahkan penggayaan.
Sama ada ingin kelihatan formal atau ingin tampil dalam mod minimalis, kemeja putih berlengan panjang seharusnya menjadi pilihan terbaik lelaki. Selain digayakan dengan blazer untuk ke pejabat atau urusan formal, anda juga akan nampak segak dan bergaya jika menyarungkan kemeja putih berlengan panjang bersama seluar jeans, seluar slack atau chinos.
Hanya sekelip mata dari gaya formal, kemeja ini mampu membuatkan anda kelihatan lebih santai dalam acara semi formal. Pemakaian kemeja putih haruslah disesuaikan dengan bentuk badan anda. Untuk anda yang berbadan besar pastikan anda menyarungkan kemeja putih ini dengan saiz yang tidak terlalu besar atau tidak terlalu kecil. Pilih juga kemeja putih ini daripada material yang berkualiti untuk menyerlahkan penampilan anda.
Kemeja hitam juga tidak kurang pentingnya untuk dijadikan koleksi simpanan lelaki kerana kegunaannya sama seperti kemeja putih. Ia juga boleh digunakan sama ada untuk tujuan formal atau untuk digayakan bagi aktiviti santai jika dipadankan dengan seluar jeans, slack atau chinos. Malah pemakaian kemeja hitam ini akan menampakkan sisi matang dalam diri seorang lelaki, selain menyerlahkan sisi cool dan maskulin dalam penampilan.
Kemeja flanel merupakan kemeja dengan motif kotak-kotak yang sering menjadi pilihan santai dari dulu hingga kini untuk penggayaan lelaki. Kain flanel kotak-kotak yang kelihatan kasar adalah ciri khas jenis baju ini. Kemeja ini diperbuat daripada flanel kasual yang ringan. Ia boleh digayakan begitu sahaja atau dijadikan jaket yang dipakai bersama t-shirt atau singlet dengan seluar denim untuk menonjolkan aura karakter anda yang lebih cool.
Kemeja denim yang sesuai digayakan untuk acara santai ini mampu menyerlahkan imej maskulin seseorang lelaki kerana ia sangat praktikal dan selesa. Ia sesuai dipadankan dengan seluar jeans atau seluar jeans putih bersama boots, sneakers atau loafers. Selain untuk acara santai, kemeja denim juga sesuai digayakan bersama blazer dan chinos untuk pakaian ke pejabat.
Jika untuk aktiviti santai di hujung minggu, jenis kemeja denim polos juga boleh anda jadikan jaket untuk dipadankan bersama t-shirt putih. Bukan hanya biru, kemeja denim juga hadir dalam pelbagai warna antaranya biru, biru gelap, hitam, putih dan coklat untuk disesuaikan dengan warna kulit dan gaya anda.
Kemeja bercetak juga menjadi antara pilihan lelaki untuk kelihatan lebih moden. Cuma yang penting, anda perlu bijak memilih motif pada kemeja bercetak ini agar ia sesuai dengan karakter diri dan warna kulit anda. Jangan memilih motif dan warna yang keterlaluan sehingga menenggelamkan penampilan.
Jika dahulu kemeja batik sinonim dengan golongan berusia, namun dengan adanya revolusi fesyen yang mana potongan kemeja batik tampil lebih variasi dan fit menyebabkan ia mula mendapat tempat di hati ramai lelaki muda. Jika bosan asyik menyarungkan kemeja polos, apa kata jadikan kemeja batik berlengan panjang sebagai pilihan untuk anda bergaya ke majlis rasmi. Bagi yang mempunyai kemeja batik berlengan pendek, anda boleh gayakan ia untuk majlis yang lebih santai.
Kalau nak ushar-ushar beg atau wallet, boleh klik sini
Sumber: idntimes.com/
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Setiap lelaki tidak kira apa bidang kerjayanya, pasti memiliki sepasang kasut kulit. Ia menambahkan seri kepada si pemakai apabila berkunjung ke acara rasmi atau majlis formal, selain ke pejabat.
Kasut kulit melambangkan penampilan yang profesional & berkredibiliti sebagai seorang lelaki yang berkerjaya.
Tidak dinafikan bukan mudah untuk menjaga kasut kulit kerana luaran kulitnya mudah rosak jika anda tidak menjaganya dengan baik.
Namun, jangan bimbang. Jika kena dengan cara penjagaannya, kasut kulit anda boleh dipakai dalam tempoh yang lama dan akan berada dalam keadaan yang baik.
1. Kilatkan kasut setiap hari
Ambil sedikit masa apabila pulang dari bekerja untuk mengilatkan kasut. Tidak lama, hanya 5-10 minit sahaja. Cuma apabila kasut kulit anda terkena hujan, proses membersihkan dan mengilatnya akan mengambil masa sedikit lama. Jika tidak dibersihkan, kotoran tersebut akan mengering hingga menjadi tompokan yang kekal dan boleh merosakkan kasut.
2. Elak memakai kasut yang sama setiap hari
Pastikan anda memiliki sekurang-kurangnya dua pasang kasut kulit agar memudahkan anda untuk memakainya berselang-seli. Masa yang sama, ia juga bertujuan untuk mengelakkan kasut kulit anda mudah mengembang dan bahagian kulitnya bercalar. Jika anda hanya bergantung kepada sepasang kasut kulit sahaja dan ia dipakai setiap hari, kasut akan mudah merekah dan warnanya cepat pudar.
3. Letakkan Shoe Tree apabila tidak menggunakan kasut
Alat ini kita selalu nampak di kedai kasut. Tanpa kita sedari, ia penting kerana ia digunakan untuk mengekalkan bentuk kasut agar selesa untuk memakainya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberikan kitaran udara yang baik pada kasut tersebut sekiranya ia tidak digunakan.
4. Jangan biarkan stoking lama di dalam kasut
Ramai berpendapat adalah normal untuk kasut berbau stoking tanpa anda mengetahui bahawa bau tersebut sebenarnya datang daripada bakteria yang sudah membiak lama di dalam kasut. Kesan bau busuk ini akan terperap di dalam kasut dan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan pada kaki apabila anda menyarung kasut tersebut. Jadi, jangan biarkan stoking berada lama di dalam kasut. Keraplah menukar stoking setiap hari dan semburkan pewangi khas untuk kasut.
5. Elakkan kasut daripada terkena air
Apabila tibanya musim hujan, lebihkan perlindungan terhadap kasut kulit anda. Kasut kulit amat sensitif terhadap air. Jika sudah terkena air, segeralah mengeringkan kasut kulit anda. Ini kerana keadaan kasut kulit yang basah akan mempercepatkan lagi proses rekahan pada kulit kasut tersebut.
6. Jangan biar kasut kulit terkena sinaran matahari
Cahaya matahari yang terik boleh merosakkan sambungan antara kulit dan tapak getahnya. Jika terlalu lama terdedah menyebabkan kasut mudah rosak dan tidak tahan lama.
7. Guna uncang teh untuk buang bau busuk
Jika anda tidak mampu untuk membeli penyegar kasut, anda boleh menggunakan uncang teh sebagai alternatif yang lebih mudah dan murah untuk menyingkirkan bau busuk yang ada di dalam kasut.
Lelaki dan jaket kulit memang tak boleh dipisahkan. Ia dianggap sebagai gaya fesyen yang popular di kalangan penunggang motosikal untuk menyerlahkan penampilan.
Bahkan pemakaian jaket kulit juga penting bagi mat motor sebagai ciri-ciri keselamatan diri bagi mengelakkan kecederaan apabila berlakunya kemalangan.
Terkenal dengan harganya yang mahal dan penggunaan material yang berkualiti, jadi tidak hairanlah jika gaya fesyen ini perlu dijaga dengan rapi agar ia tidak mudah lusuh dan kulitnya tidak mengelupas.
Pantang-larang ketika memakai jaket kulit:
1. Jangan sesekali memenuhkan poket anda dengan pelbagai barang atau membawa barangan berat kerana ia akan meregangkan material kulitnya.
2. Jangan guna penyembur rambut, minyak wangi atau cologne semasa memakai jaket kulit. Alkohol yang ada di dalam penyembur ini akan mengeringkan material kulitnya. Sembur dahulu wangian anda dan biarkan ia kering dahulu sebelum anda ingin memakai jaket.
3. Jangan tampal lencana atau pinkan kerana ia akan merosakkan permukaan kulit.
4. Jangan guna minyak zaitun dan minyak kelapa untuk membersihkan jaket kulit. Zat-zat ini memberikan kilauan yang menipu, selain menyebabkan kulitnya cepat pecah dan berminyak.
Untuk memastikan pembelian anda berbaloi kerana harganya mahal, jadi pastikan anda menitikberatkan tip-tip asas ini untuk menjaga kualiti jaket kulit.
1. Gunakan cucian tangan
Bahagian di dalam jaket sukar dijaga, jadi jangan biarkan ia berbau hapak disebabkan kesan peluh dan habuk. Cara terbaik untuk membersihkannya adalah dengan menggunakan cucian tangan. Mulakan membasuh dengan air suam dan sedikit sabun pencuci lembut daripada jenis air. Elak rendam terlalu lama. Jika terdapat kesan kotor, gunakan berus gigi yang lembut untuk membersihkan kotoran tersebut. Kemudian, gosok secara lembut dan keringkan di ruangan terbuka yang mempunyai aliran angin. Jangan jemur di bawah matahari terik kerana ia akan mengecutkan jaket kulit anda.
2. Cucian mesin basuh
Masukkan sabun pencuci air ke dalam air dingin. Guna jaring kain jika ada ataupun terbalikkan bahagian dalam jaket ke luar dan zipkan. Penting untuk anda ikuti tiga peraturan iaitu menggunakan mod perlahan, air sejuk dan masa basuh yang minimum. Kemudian, keringkan jaket secara manual tanpa perlu memerahnya. Gantung jaket di bawah kipas dinding.
3. Penjagaan bahagian luar
Jika bahagian luar jaket kotor akibat tumpahan makanan atau minuman, segera bersihkannya dengan kain lembut dan lap dengan gerakan ke bawah. Jangan gosok secara kasar! Anda juga boleh membeli produk penjagaan pakaian kulit yang dijual di pasaran. Sapuan produk ini akan membuatkan jaket anda menjadi lebih lembut, fleksibel, terlindung daripada kelembapan dan mencegah permukaannya daripada retak.
4. Hilangkan kedutan
Letakkan beberapa buku yang berat di atas jaket anda semalaman. Ini membantu mengurangkan kedutan. Pastikan anda sentiasa menggantungkannya dan jangan lipat jaket kulit anda.
5. Biarkan ia kering sendiri jika terkena hujan
Kalau jaket anda terkena air hujan, jangan terus masukkan ke dalam mesin basuh. Ini kerana suhu panas boleh merosakkan material kulitnya. Cara yang paling mudah adalah dengan menggantungkan ia di tempat yang ada aliran angin atau banyak cahaya tetapi bukannya pada cahaya matahari terik.
6. Cara penyimpanan
Menyimpan jaket anda dengan cara yang betul dapat menghalang terjadinya banyak masalah. Elak menyimpan di dalam almari yang lembap terutamanya berdekatan dengan bilik mandi atau ruang yang memancarkan cahaya matahari terus. Jika anda prihatin dengan habuk, tutupkan jaket dengan sarung khas atau beg plastik baju bagi tujuan untuk menangkap kelembapan dan menggalakkan cendawan.
Pernah tak anda nak tegur kawan, tapi takut kawan tu terasa hati atau tak nak kawan dengan anda terus? Mesti pernah kan? Sebagai contoh, badan kawan anda berbau busuk, dan anda sejenis tak tahan dengan bau busuk. Nak tegur, takut terasa hati, tak tegur, kita pun tak tahan. Mungkin anda boleh cuba tips kami ni:
1) Jangan tangguh
Bila anda ada sesuatu dalam fikiran yang anda nak bagitahu rakan anda itu, terus cakap. Tangguh boleh menyebabkan anda banyak berfikir, dan bila banyak berfikir, anda tidak akan beritahu mereka. Jangan takut dengan apa yang akan berlaku selepas anda beritahu, kalau kena caranya, rakan andapasti tak akan mengamuk.
2) Jangan meleret
Mukadimah anda tu, kurangkan sikit. Dah lah anda bercakap tanpa berfikir panjang, jika anda leretkan teguran anda, rakan anda akan rasa tidak selesa. Manusia ni tak boleh menerima informasi yang banyak, tambahan pula berita buruk.
3) Tengok mood dia
Nak beritahu kena masanya, jika rakan anda seorang wanita, sepanjang tempoh period bukanlah masa yang sesuai. Anda pun tahu kan wanita ni ada mood swing, kalau boleh elak ye.
4) Feedbak kurang baik
Ok, jika anda beritahu rakan anda, bahawa dia seorang yang pengotor, dan feedback dia kurang baik, maka hentikan teguran itu. Ini kerana rakan anda tidak boleh terima hakikat bahawa dirinya kurang baik. Dalam pada masa yang sama, rakan anda tersinggung dengan teguran anda. Ini normal, apa yang anda boleh buat adalah cuba lagi pada masa akan datang. Mungkin anda belum cukup rapat sehinggakan anda dibenarkan untuk menegur mereka. Ini akan ambil masa, tapi jika anda tidak putus menegur dengan cara yang betul, maka satu hari rakan anda akan berubah, percayalah.
5) Tanya balik diri anda, penting ke teguran ni?
Apa kepentingkan dalam anda menegur rakan anda? Adakah dengan teguran ini, rakan anda akan menjadi lebih baik? Atau lebih buruk? Atau, ini hanya untuk kepentingan diri anda sahaja bukan untuk orang sekeliling rakan anda itu? Jika anda tidak tahu sebab disebalik teguran yang bakal anda lontarkan itu, maka lebih baik anda berdiam diri.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.