Sebut sahaja tentang air sejuk pasti anda boleh membayangkan betapa nikmatnya apabila ia diminum terutamanya ketika cuaca panas.
Jika bulan Ramadan, air sejuk ini pasti menjadi minuman wajib dihidang di meja makan sebagai penghilang dahaga.
Walaupun rasa nikmat, namun ada yang takut untuk minum air sejuk selepas makan kononnya ia boleh membuatkan lemak di dalam badan membeku sehingga menyukarkan penurunan berat badan dan menyumbatkan saluran darah.
Ternyata, perkara tersebut hanyalah mitos semata-mata kerana tiada dakwaan yang ia menjadi punca obesiti.
Perkara ini didedahkan menerusi artikel Dr Latif Saad yang dikongsikan beliau di laman web The Diagnosa.
Oleh, itu, jangan sesekali takut untuk minum air sejuk selepas makan kerana ia bukanlah penyebab berat badan anda sukar turun.
Hanya mitos
Ramai di kalangan masyarakat dan orang lama cakap yang air batu, ais batu ataupun air sejuk boleh menyebabkan seseorang itu menjadi gemuk, obese ataupun berlebihan berat badan.
“Eh. Kau tak tahu ke, Air sejuk menggemukkan?
Perkara ini menjadi tular ke seluruh masyarakat kerana mereka mempercayai satu video di mana apabila lemak dimasukkan ke dalam air sejuk ia bergumpal menjadi satu gumpalan. Maka gumpalan inilah yang akan menjadi lemak dalam badan kata mereka.
Apakah yang terjadi bila air sejuk/ais batu diminum?
Apabila seseorang itu menelan ais batu ataupun meminum air sejuk, ia akan terkumpul di dalam perut. Ais tersebut akan mencair menjadi air dan badan secara automatiknya meningkatkan suhu air dalam perut untuk sama seperti suhu badan.
Ia adalah satu mekanisma yang memang berlaku secara automatik kerana badan perlu berfungsi pada suhu yang spesifik. Badan tidak boleh terlalu sejuk walaupun di dalam perut sahaja kerana ia akan mengganggu fungsi sel bertindak. Oleh itu, suhu air dalam perut akan dinaikkan sama seperti suhu badan.
Pada ketika itu, lemak tersebut dah tak sempat nak bergumpal.
Bagaimana pula penyerapan lemak?
Secara ringkasnya lemak perlu diuraikan terlebih dahulu menjadi asid lemak dan juga glycerol. Pada ketika ini, barulah lemak boleh diserap daripada usus untuk dibawa ke seluruh badan juga disimpan di dalam sel adipos. (Sel adipos berfungsi untuk menyimpan lemak).
Oleh kerana itu, perlu kita faham bahawa jika lemak tersebut bergumpal, ia akan menyebabkan luas permukaan untuk enzim bertindak pada lemak itu semakin berkurangan.
Ini menyebabkan penguraian lemak tidak dapat berlaku dengan sempurna dan serapan lemak menjadi tidak efisien.
Jadi kalau nak kata minum air sejuk menyebabkan lemak bergumpal dan akhirnya membawa kepada kegemukkan adalah suatu yang tidak tepat. Sebab lemak tu sendiri akan susah untuk diserap jika ia bergumpal.
Apakah yang menyebabkan kegemukan?
Gemuk, obese ataupun berlebihan berat badan berlaku apabila jumlah kalori yang kita ambil adalah lebih daripada jumlah yang kita pakai. Jadi kalori yang berlebihan itu akan ditukarkan kepada lemak.
Oleh itu, makanan yang tinggi gula dan juga lemak boleh meningkatkan pengambilan kalori dan akhirnya membawa kegemukkan jika kita tidak mengawalnya.
Kesimpulan
Ais batu atau air sejuk tidak menyebabkan kegemukan. Yang menyebabkan kegemukan adalah cara permakanan yang tidak sihat.
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI